[VIDEO] Johor perkenal sistem giliran pintar di HSA
JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi membangunkan Smart Queue System (SQS) di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dalam usaha menangani isu kesesakan pengambilan nombor giliran di klinik pakar dan farmasi.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif tersebut merupakan sistem perintis pertama seumpamanya di Malaysia yang diperkenalkan dengan dana penuh kerajaan negeri.

“Insya-ALLAH, selepas ini kita akan guna pakai kaedah ini ke hospital lain seperti Hospital Sultan Ismail (HSI) dan sebagainya. Ini antara dua hospital paling sibuk di Johor.
“Bila kita sudah laksanakan di dua hospital ini, kita akan kembangkan ke daerah lain. Sama-samalah kita doakan agar semua inisiatif ini memberi manfaat maksimum kepada rakyat di luar sana, insya-ALLAH,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke HSA di sini, pada Selasa.
Sementara itu, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, SQS direka untuk menyelesaikan masalah pesakit yang sebelum ini perlu mengambil nombor giliran secara berasingan di klinik dan farmasi.
Tambahnya, kelebihan lain termasuk sistem notifikasi yang memaklumkan jumlah pesakit yang sedang menunggu sebelum giliran seseorang pesakit tiba.
“Sebelum ini, pesakit perlu datang awal untuk ambil nombor dan biasanya kena beratur dua kali, satu di klinik dan satu lagi di farmasi.
“Tapi dengan SQS, mereka guna satu nombor sahaja. Sistem ini membolehkan pesakit bergerak antara klinik dan farmasi tanpa perlu mengambil nombor baharu.
“Contohnya, kalau ada sepuluh pesakit sebelum mereka, pesakit boleh tunggu dalam kereta dengan selesa. Bila giliran hampir tiba, sistem akan beri peringatan supaya masuk ke klinik,” ujarnya.
Tambahnya, maklumat janji temu juga akan dimasukkan ke dalam aplikasi mudah alih, menggantikan kebergantungan sepenuhnya kepada kad janji temu fizikal.
“Kita masih guna kad, tapi aplikasi ini akan beri notifikasi. Ia lebih mudah dan menjimatkan masa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!