Karnival Siang Malam platform perpaduan komuniti

SHAH ALAM - Karangkraf bakal mengadakan karnival komuniti besar-besaran yang dijangka menjadi medan pertemuan rakyat pelbagai lapisan terutama di Lembah Klang menerusi penganjuran Karnival Siang Malam 2025.
Karangkraf dalam satu kenyataan memaklumkan, acara yang berlangsung dari 25 hingga 27 Julai 2025 itu bakal menyaksikan pertembungan pelbagai budaya, gaya hidup dan generasi dalam suasana santai serta inklusif.
Katanya, karnival tersebut bukan sekadar pesta hiburan sebaliknya menekankan pembinaan hubungan antara komuniti menerusi penglibatan aktif masyarakat.
“Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 bukan sekadar acara, ia adalah gerakan untuk meraikan komuniti, budaya dan kreativiti.
“Bayangkan sebuah tempat yang dipenuhi gelak tawa, di mana mata anak-anak bersinar penuh keterujaan dan komuniti berkumpul bukan sekadar berhibur, tetapi untuk saling mengenali, itulah semangat yang ditunjukkan dalam karnival ini.
“Di Karangkraf, kami percaya pada kekuatan cerita dan karnival ini adalah bab baharu yang ditulis bersama individu terpenting seperti ahli keluarga, golongan belia, pelajar dan jiran tetangga,” menurut kenyataan itu pada Isnin.
Tambah kenyataan itu, pelbagai aktiviti disusun merangkumi persembahan tradisional, sukan lasak seperti go-kart, pameran kreativiti pelajar dan sajian makanan tempatan.
“Ayuh cipta kenangan, bina jambatan dan sebarkan kegembiraan bersama-sama,” ujar kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, Karangkraf juga memaklumkan akan menyediakan pelbagai ruang untuk membolehkan pelajar sekolah menonjolkan bakat dan kreativiti masing-masing.
Ulasnya, antara aktiviti menarik yang diketengahkan termasuk pertandingan silang kata, bicara berirama dan pentas ekspresi ‘Sekolahku Meriah’.
“Selain itu seperti ‘Pasar Saloma’ pula, ia bukan sekadar menjadi lokasi jual beli, malah bakal berfungsi sebagai pusat interaksi pelbagai etnik menerusi hidangan dan hasil tangan tempatan.
“Untuk makluman, karnival ini sebenarnya bertujuan untuk menghimpunkan keluarga, pendidik dan komuniti dalam suasana santai serta menyeronokkan, menyokong usahawan tempatan dan koperasi sekolah dengan peluang perniagaan dan mempromosikan gaya hidup sihat serta penghargaan terhadap budaya.
“Karnival ini mencerminkan misi kami untuk membina jambatan melalui pengalaman bersama, ia bukan sekadar acara, tetapi ia adalah bagi meraikan perpaduan dan kepelbagaian rakyat Malaysia,” jelasnya.
Karnival Siang Malam Karangkraf yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari di Dataran Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam itu akan memberi peluang kepada pengunjung untuk menyertai cabutan bertuah.
Antara hadiah eksklusif yang ditawarkan ialah motosikal GJ motor LTR150, Benelli Panarea, tiket taman tema Berjaya Times Square Kuala Lumpur, barangan elektrik dan elektronik dari Russell Taylors dan banyak lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!