Insiden pelajar cedera: Siasatan perlu adil, telus

Ahmad Amzad
Ahmad Amzad
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Siasatan menyeluruh dan penyelesaian adil tanpa membelakangi hak mangsa perlu menjadi keutamaan dalam insiden kecederaan membabitkan seorang pelajar perempuan Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 (SKSS1), di sini, yang tular baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, beliau telah mengikuti isu tersebut secara dekat termasuk mengadakan perbincangan dengan ibu mangsa, serta mendapatkan maklumat lanjut daripada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

"Saya dimaklumkan siasatan telah dijalankan secara telus dengan penglibatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan usaha sedang dilakukan untuk membawa kedua-dua pihak terbabit ke meja rundingan bagi menyelesaikan perkara ini dengan adil,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Hantaran tular di media sosial mendakwa seorang pelajar perempuan cedera akibat dibuli rakan sekolahnya.
Hantaran tular di media sosial mendakwa seorang pelajar perempuan cedera akibat dibuli rakan sekolahnya.

Menurut beliau, satu pertemuan antara ibu bapa kedua-dua pelajar terlibat bersama pihak sekolah dijadualkan diadakan pada petang Isnin untuk mencapai pemuafakatan.

Bagaimanapun, katanya, terdapat kebimbangan bahawa tekanan luar mungkin cuba mengklasifikasikan insiden itu sebagai ‘pergaduhan pelajar’, sedangkan maklumat yang diterimanya menunjukkan ada pelajar menjadi mangsa dan seorang lagi dikatakan sebagai pelaku.

"Saya difahamkan pelajar yang sama pernah dikaitkan dengan dua insiden sebelum ini yang menyebabkan mangsa terdahulu terpaksa berpindah sekolah.

"Ramai guru dan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) maklum dengan keadaan ini, namun mungkin keberatan untuk mengambil tindakan kerana berdepan tekanan tertentu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Amzad menegaskan bahawa sekolah bukan medan tekanan, sebaliknya tempat mendidik yang perlu menjamin keselamatan dan kesejahteraan murid.

"Sebarang bentuk salah laku termasuk unsur buli mesti ditangani dengan tegas dan berintegriti.

"Saya akan terus memantau perkembangan kes ini agar penyelesaian yang dicapai benar-benar menjaga hak dan maruah semua pihak, terutamanya pelajar yang menjadi mangsa," ujarnya.

Terdahulu, insiden tersebut mendapat perhatian ramai selepas satu hantaran tular di media sosial mendakwa pelajar perempuan terbabit cedera akibat dibuli rakan sekolahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!