PVATM buka hub halal di Vietnam

Shaharuddin
Shaharuddin
A
A
A

SEREMBAN – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) bakal memperluas aktiviti ekonominya ke peringkat antarabangsa dengan membuka hub halal di Vietnam.

Presiden PVATM, Datuk Shaharuddin Omar berkata, inisiatif tersebut tercetus selepas menerima pelawaan daripada persatuan veteran di negara itu yang berminat melihat penglibatan langsung PVATM dalam pembangunan sektor halal di sana.

Menurutnya, langkah itu bukan sahaja berpotensi membuka pasaran baharu bagi produk halal Malaysia, malah turut membantu memperkukuh kedudukan ekonomi ahli PVATM secara menyeluruh.

“Ia juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada proses birokrasi dalam pengimportan sumber makanan ke Malaysia, dengan adanya pembukaan kilang halal di sana sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Langkah ini secara tidak langsung menyokong usaha kerajaan dalam aspek keterjaminan makanan negara pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun PVATM ke-103 yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Seremban pada Isnin.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan turut dihadiri Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.

Shaharuddin turut memaklumkan bahawa PVATM sedang berusaha menjalin kerjasama dengan pasaran di Timur Tengah, khususnya dalam memasarkan produk dan perkhidmatan halal dari Malaysia.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa PVATM turut bekerjasama dengan Mardi Corp bagi membangunkan projek tanaman kelapa berskala besar sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keterjaminan makanan dalam negara.

Artikel Berkaitan:

“Ketika ini, negara masih bergantung kepada import hasil pertanian dari luar. Justeru, kami melihat projek ini mampu menjadi salah satu tulang belakang kepada pengukuhan sumber makanan tempatan.

“Usaha ini juga dapat memberi manfaat dan peluang ekonomi baharu kepada veteran tentera,” katanya.

Menurut beliau, walaupun perancangan itu tidak mampu menampung keseluruhan keperluan negara, usaha tersebut dijangka akan menyumbang peratusan yang signifikan dalam sektor bekalan makanan negara.

Shaharuddin (kanan) mewakili PVATM menandatangani MoU ekonomi veteran dengan wakil negara luar.
Shaharuddin (kanan) mewakili PVATM menandatangani MoU ekonomi veteran dengan wakil negara luar.

Pada majlis itu, PVATM menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama ekonomi veteran dengan Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Satu lagi MoU membabitkan Kemboja dijangka akan dimeterai pada bulan Ogos.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!