Destinasi wajib penggemar nanas

Penyelia ladang nanas MD2 Botanic Cafe & Resort, Ahmad Ashraf Mohd Zabawi menunjukkan buah yang telah dituai dan dijual di kafe tersebut.
Penyelia ladang nanas MD2 Botanic Cafe & Resort, Ahmad Ashraf Mohd Zabawi menunjukkan buah yang telah dituai dan dijual di kafe tersebut.
A
A
A

BAGI pencinta buah nanas, MD2 Botanic Cafe & Resort adalah lokasi yang wajib anda kunjungi di Jalan Sungai Kechik, Changkat Setul di sini.

Terletak kira-kira 25 kilometer (km) dari Pekan Jitra dan 45 km dari Bandaraya Alor Setar, lokasi ini bukan sekadar ladang nanas, tetapi sebuah destinasi agro pelancongan yang menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung.

Idea menubuhkan ladang nanas ini tercetus ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19, apabila pemiliknya, Uzir Abd Majid, 67, beralih daripada bidang kontraktor kepada pertanian.

Bermula dengan 10,000 benih nanas pada tahun 2020, beliau kini mengusahakan lebih 100,000 pokok nanas jenis MD2, madu kaca dan jambul emas, menjadikan lokasi ini salah satu ladang nanas yang menjadi tarikan kerana ditanam di sekeliling bukit-bukau yang menghijau.

Uzair dan Siti Salbiah menunjukkan antara menu masakan panas yang disajikan di kafe mereka.
Uzair dan Siti Salbiah menunjukkan antara menu masakan panas yang disajikan di kafe mereka.

“Di ladang berkeluasan lebih enam hektar ini, selain tanaman nanas, terdapat kafe yang memfokuskan kepada makanan yang berasaskan buah nanas seperti ais krim, tat nanas, jus dan banyak lagi. Kafe ini baru beroperasi pada 2024 dan kini dalam proses naik taraf resort, surau dan kolam renang.

“Kafe atas bukit pula baru sahaja beroperasi pada awal Mei yang menawarkan pemandangan indah kehijauan ladang nanas dan juga pokok serta bukit-bukau di sekeliling kawasan ini,” katanya.

Jelas Uzir, buah nanas dari MD2 Botanic Cafe & Resort dikenali kerana kemanisannya yang luar biasa.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, rahsia keistimewaan terletak pada tanah mineral dan cuaca panas yang panjang di Kedah membantu menghasilkan buah lebih manis, warna menarik dan isinya bersinar.

Uzair dan isterinya, Siti Salbiah menunjukkan pemandangan kafe dari atas bukit.
Uzair dan isterinya, Siti Salbiah menunjukkan pemandangan kafe dari atas bukit.

“Keistimewaan ini turut diakui oleh pelancong tempatan yang datang dari luar Kedah. Mereka mengakui rasa buah lebih segar dan manis. Di sini memang kami mengutamakan penjagaan kualiti tanaman di ladang dari segi baja dan racun yang diuruskan oleh seorang anak dan menantu saya,” ujarnya.

MD2 Botanic Cafe & Resort turut menawarkan masakan panas seperti hidangan Thailand, Cina dan tempatan, termasuk kari, sup, ikan, daging, bihun dan laksa.

Tambah Uzir, kafe di atas bukit itu diuruskan isterinya, Siti Salbiah Dali, 52, yang mampu menampung kapasiti sehingga 150 orang dalam satu masa dan sesuai untuk mereka yang ingin bersantai sambil menikmati udara segar.

“Kemudahan lain seperti surau, kolam renang serta dewan seminar yang mampu menampung 180 orang sedang dalam proses naik taraf bagi menjadikan resort ini lebih selesa dan lengkap untuk pelancong.

“Kami juga dalam perancangan menawarkan perkhidmatan buggy bagi membawa pengunjung ke kafe di puncak bukit. Ini bukan sahaja memudahkan perjalanan, tetapi juga menambah elemen keseronokan dalam lawatan ke ladang nanas ini,” katanya lagi.

Keunikan MD2 Botanic Cafe & Resort menjadikannya antara destinasi menarik yang bakal menyemarakkan Tahun Melawat Kedah 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Keunikan MD2 Botanic Cafe & Resort menjadikannya antara destinasi menarik yang bakal menyemarakkan Tahun Melawat Kedah 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Semarak Tahun Melawat Kedah 2025

Sementara itu, Exco Pelancongan Kedah, Datuk Salleh Saidin dalam lawatan ke kafe tersebut sebelum ini berkata, keunikan MD2 Botanic Cafe & Resort menjadikannya antara destinasi menarik yang bakal menyemarakkan Tahun Melawat Kedah 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Kedudukannya di atas bukit seperti menanti anda dengan pemandangan indah dan suasana nyaman yang sukar diungkap,” ujarnya.

Seorang pelancong tempatan, Afifah Mokhtar, 35, yang datang bersama keluarganya dari Merbok, Sungai Petani mengakui tertarik dengan konsep yang diketengahkan kafe tersebut.

Menurutnya, bagi penggemar nanas yang tinggal di sekitar negeri utara boleh datang menikmati keindahan alam dan kehijauan di sini sambil merasai hidangan berasaskan buah tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!