Gyokeres tak minat sertai United, impi sarung jersi Arsenal

PENYERANG Sporting CP, Viktor Gyokeres dilaporkan telah menutup pintu perpindahan ke Manchester United dan lebih cenderung untuk melengkapkan perpindahan impiannya ke kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal.
Penyerang antarabangsa Sweden itu dijangka meninggalkan juara Portugal tersebut pada musim panas ini, namun hubungannya dengan kelab dilaporkan semakin tegang.
Kontraknya mempunyai klausa pelepasan bernilai £84 juta (RM484 juta), tetapi difahamkan terdapat perjanjian secara lisan antara kedua-dua pihak bahawa dia boleh meninggalkan kelab dengan nilai sekitar £59 juta (RM340 juta).
Bagaimanapun, tindakan Sporting yang dikatakan bermain tarik tali daripada persetujuan itu telah menimbulkan kemarahan Gyokeres, dengan laporan menyatakan kelab kini menetapkan harga lebih hampir kepada £70 juta malah ada dakwaan bahawa mereka tidak akan berunding di bawah nilai klausa pelepasan tersebut.
Situasi ini menjadi semakin rumit dengan kemunculan petikan palsu daripada ejen serta tuduhan ‘ugut-mengugut’, namun Presiden Sporting, Frederico Varandas tampil memberi penjelasan.
“Kami telah bersetuju bahawa Sporting tidak akan menuntut klausa pelepasan pada akhir musim berikutnya, terutamanya kerana ketika itu dia sudah berusia 27 tahun. Kami tahu impian Viktor untuk menyertai kelab yang boleh bersaing dalam Liga Juara-Juara dan kami bertindak dengan wajar.
“Kami beri jaminan bahawa kami tidak akan menuntut £100 juta (RM576 juta). Dalam pertemuan itu, ejennya mahu menetapkan nilai pelepasan, dia sebut £60 juta, £70 juta.
“Saya kata, tiada gunanya menetapkan nilai kerana saya tidak tahu apa akan berlaku dalam masa setahun jika dia cedera atau prestasinya merosot. Jadi tiada gunanya menetapkan harga, saya tak tahu sama ada ia akan jadi £40, £60 atau £80. Apa yang saya boleh jamin ialah saya tidak akan tuntut £100 juta.
“Sejak itu, saya tidak lagi bercakap dengan ejen atau pemain mengenai perpindahan dan nilai. 10 bulan berlalu dan saya lihat ejen beri kenyataan merata-rata kepada media, tapi Sporting tetap berpegang pada pendirian dan janji kami," katanya.
Akhbar Portugal, Record sebelum ini melaporkan tiada bukti kewujudan perjanjian lisan tersebut dan kini mereka mendakwa Gyokeres sendiri telah memaklumkan kepada United bahawa dia tidak berminat menyertai kelab itu.
Gyokeres dikatakan tidak berpuas hati dengan tawaran kewangan daripada United dan menganggap perpindahan ke Old Trafford sebagai risiko besar khususnya selepas pasukan kendalian Ruben Amorim itu gagal layak ke kejohanan Eropah musim depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
