Kelab tarik diri buru Garnacho, tamparan buat Manchester United

Garnacho
Garnacho
A
A
A

MANCHESTER United berdepan tamparan dalam usaha menjual Alejandro Garnacho apabila salah sebuah kelab yang dikaitkan dengan pemain itu menarik diri daripada rundingan, menurut beberapa laporan media antarabangsa.

Pemain muda Argentina itu dijangka meninggalkan Old Trafford selepas digugurkan daripada kesebelasan utama dalam kekalahan perlawanan akhir Liga Europa menentang Tottenham bulan lalu.

Laporan sebelum ini melaporkan bahawa Amorim telah menyuruh pemain itu mencari kelab baharu di hadapan semua rakan sepasukan di pusat latihan United.

Walaupun mendapat minat dari beberapa kelab, Garnacho tidak akan dilepaskan dengan harga murah apabila United menetapkan tanda harga sebanyak £70 juta (RM403 juta) untuk pemain berusia 20 tahun itu.

Namun, perkembangan terbaharu menyaksikan rundingan dengan Bayer Leverkusen kini dikatakan terhenti apabila kelab Jerman itu tidak bersedia memenuhi permintaan United.

Menurut laporan Sky Germany, pakej keseluruhan termasuk yuran perpindahan dan gaji dianggap terlalu tinggi menyebabkan Leverkusen kini mempertimbangkan pilihan lain.

Sekiranya perpindahan ke Leverkusen menjadi kenyataan, Garnacho berpeluang untuk bekerjasama semula dengan bekas pengurus United, Erik ten Hag yang kini dilaporkan bakal menyertai kelab Bundesliga itu.

Garnacho dilihat sebagai salah satu aset bernilai tinggi yang boleh dijual oleh United musim panas ini memandangkan usianya yang masih muda serta baki tiga tahun dalam kontraknya.

Amorim pula dilaporkan mahu melakukan rombakan besar dalam skuad dengan beberapa nama besar seperti Marcus Rashford, Antony dan Jadon Sancho turut berada dalam senarai pemain yang bakal dilepaskan.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, United telah menyempurnakan satu pembelian pada awal jendela perpindahan dengan membawa masuk Matheus Cunha dari Wolves bernilai £62.5 juta (RM360 juta).

United juga sedang memburu dua lagi penyerang Bryan Mbeumo dari Brentford dan Viktor Gyokeres dari Sporting CP sebagai usaha Amorim memperkuatkan jentera serangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!