Feel Korea in a Heartbeat meriah

Korea Tourism Organization (KTO) mengajak rakyat Malaysia menyertai festival kebudayaan, Feel Korea in a Heartbeat yang berlangsung di pusat beli-belah 1 Utama Shopping Centre, Petaling Jaya bermula 12 hingga 15 Jun depan.
Pengarah Urusan KTO Malaysia, Moon Sangho berkata, festival itu merupakan usaha organisasinya untuk mendekatkan rakyat Malaysia dengan keunikan Korea melalui pelancongan, makanan, kecantikan, budaya dan K-pop.
Menurutnya, ia dibuka pada setiap hari bermula 10 pagi hingga 10 malam manakala pada hari Jumaat dan Sabtu ia akan berakhir pada 10.30 malam.
“Festival empat hari ini menghimpunkan pelbagai elemen kebudayaan Korea termasuklah pelancongan, makanan, kecantikan, hiburan dan budaya K-pop di bawah satu bumbung.
“Kami berbangga membawakan Feel Korea in a Heartbeat sebagai satu sambutan terhadap kepelbagaian dan keindahan budaya Korea.
“Menerusi acara ini, kami ingin membawa Korea lebih dekat ke hati rakyat Malaysia dan menggalakkan mereka untuk menjelajah ke negara kami,” katanya menerusi satu kenyataan.
Antara acara menarik yang akan diadakan sepanjang festival itu ialah Zon K-Pelancongan yang membolehkan pengunjung mendapatkan promosi pelancongan eksklusif dan maklumat mengenai destinasi menarik di luar Busan, Jeju dan Gangwon.
Antara yang terlibat termasuk Apple Vacations, MHTT, Vietnam Airlines, Klook, Traveloka serta organisasi pelancongan wilayah Korea.
Pengunjung yang membeli pakej pelancongan atau tiket penerbangan ke Korea juga berpeluang untuk mendapatkan hadiah istimewa sepanjang acara berlangsung.
Turut diadakan ialah Pameran K-Beauty yang akan mempamerkan produk kecantikan terkini dan demonstrasi daripada StyleKorean Malaysia, PIXX Malaysia dan KOTRA.
Pengunjung juga boleh mengunjungi Zon K-Food untuk merasai keenakan makanan Korea daripada CU Malaysia, KyoChon Malaysia dan Halal Hanwoo.
Menerusi aktiviti budaya, pengunjung boleh merasai pengalaman menarik antaranya hanbok, kaligrafi Korea, analisis warna peribadi, hiasan top loader serta bengkel DIY Mini Busan.
Dalam pada itu, turut diadakan ialah Pertandingan Tarian K-Pop yang akan berlangsung pada 12 dan 15 Jun dengan menawarkan hadiah wang tunai dan berpeluang uji bakat bersama agensi hiburan K-pop terkemuka.
Bagi mereka yang meminati negara Korea, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan istimewa iaitu penampilan The Painters, kumpulan 1MILLION dari rancangan Street Woman Fighter (SWF), serta artis kaligrafi moden tradisional Ksycalli Calligraphy.
Untuk maklumat lanjut boleh layari https://english.visitkorea.or.kr
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!