Bapa rugi RM20,000 demi selamat anak 'ditahan polis'


Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Seorang pekebun sanggup membuat pembayaran sebanyak RM20,000 demi 'menyelamatkan' anaknya daripada ditahan polis selepas dikaitkan dengan kes dadah semalam.

Bagaimanapun, tindakan tanpa usul periksa itu hanya sia-sia apabila warga emas berusia 74 tahun itu sebenarnya terpedaya dengan helah sindiket penipuan melalui telefon.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, dalam kejadian tersebut, mangsa dari Cameron Highlands itu menerima panggilan daripada seorang lelaki kononnya pegawai polis dari Kuala Lumpur berhubung penahanan anak lelakinya.

"Mangsa diarah membayar RM100,000 bagi menyelesaikan kes itu sekiranya mahu anaknya itu dibebaskan, namun dia memberitahu tiada wang seperti diminta dan hanya mampu membayar RM20,000," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang bimbang anaknya berdepan hukuman membuat bayaran tengah hari semalam selepas suspek bersetuju dengan jumlah disebut mangsa.

Bagaimanapun katanya, keadaan sudah terlambat apabila mangsa menghubungi anaknya selepas bayaran dilakukan dan terkejut bahawa anaknya memberitahu tidak pernah ditahan polis atas sebarang kes termasuk dadah.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis di balai Polis Brinchang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kita juga sedang mengesan seorang lelaki dikenal pasti sebagai pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel Berkaitan: