Reezal nampak begitu meminati sukan: Presiden FAM

Hamidin (kanan) berkesempatan menemui Reezal Merican di Shah Alam malam tadi. - Foto Facebook FAM
Hamidin (kanan) berkesempatan menemui Reezal Merican di Shah Alam malam tadi. - Foto Facebook FAM
A
A
A

DATUK Seri Reezal Merican Naina Merican tidak menunggu lama untuk memulakan tugasnya sebaik mengangkat sumpah sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu petang semalam.

Malam tadi, beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas dikunjungi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin di kediamannya di Shah Alam.

Dalam pertemuan santai itu, Reezal Merican bukan sahaja membincangkan hal-hal berkaitan bola sepak, malah turut mendapatkan input serta pandangan daripada Hamidin berkaitan sukan di Malaysia secara umumnya.

Reezal Merican berkata, beliau cukup gembira kerana Hamidin menerajui salah satu persatuan sukan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sekali gus yakin kerjasama erat mampu dibentuk antara KBS dan FAM pada masa akan datang.

"Beliau (Hamidin) memberikan input yang cukup berguna kepada saya, bukan saja berkaitan bola sepak, malah sukan-sukan lain kerana saya tahu beliau seorang yang cukup berpengalaman kerana sudah berada dalam landskap sukan negara hampir selama 30 tahun.

"Bagi bola sepak, saya gembira melihat bola sepak negara kita semakin menunjukkan perkembangan positif sejak kebelakangan ini. Sebagai Menteri Belia dan Sukan, menjadi harapan saya untuk melihat bola sepak kita akan terus meningkat maju ke tahap yang lebih cemerlang di pentas antarabangsa," katanya.

Menurutnya, sebagai menteri yang bertanggungjawab beliau akan memastikan tugasnya dapat direalisasikan.

Sementara itu, Hamidin menyifatkan kehadiran Reezal Merican sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu sebagai sesuatu yang cukup positif untuk arena sukan negara.

Artikel Berkaitan:

"Nampaknya pada hari pertama selepas Datuk Seri Reezal Merican mengangkat sumpah jawatan menteri, beliau sudah memulakan kerja dengan mahu mendapatkan input berkaitan sukan ketika kami bertemu di rumahnya.

"Beliau nampak begitu meminati sukan dan beliau bersikap cukup terbuka untuk bertukar pendapat serta mendengar pandangan daripada saya. Malah, beliau ingin mengetahui segalanya tentang bola sepak dan sedikit sebanyak sudah saya terangkan kepada beliau,” katanya.