Terima kasih PM, kerajaan - FAM

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kerajaan atas bantuan dan sokongan yang diberikan kepada skuad Harimau Malaya.
Badan induk bola sepak negara itu dalam satu kenyataan berkata, sokongan berterusan tersebut menjadi antara faktor utama kejayaan pasukan kebangsaan menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi kedua Kumpulan F, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Selasa.
“Selain bantuan kewangan melalui peruntukan khas, kerajaan turut memainkan peranan penting sebagai pemudah cara dalam urusan dokumentasi pemain-pemain warisan baharu, sehingga mereka berjaya diturunkan dalam perlawanan penting itu,” menurut kenyataan itu.
FAM turut berharap sokongan padu daripada kepimpinan negara serta penyokong tanah air akan terus kekal demi memastikan prestasi Harimau Malaya terus melonjak dalam aksi-aksi antarabangsa akan datang.
“Dengan sokongan yang berterusan, kita yakin skuad negara mampu muncul sebagai antara kuasa besar bola sepak di rantau Asia,” tambah kenyataan itu.
Kejayaan membenam Vietnam itu menjadi detik bermakna buat Harimau Malaya selepas 11 tahun tanpa sebarang kemenangan ke atas skuad Naga Emas.
Skuad negara kini berada di landasan terbaik untuk mara ke Piala Asia 2027 selepas menerajui Kumpulan F dengan kutipan enam mata selepas dua perlawanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
