Tahniah barisan pemain, jurulatih, terima kasih penyokong Malaysia - TMJ

REVOLUSI skuad Harimau Malaya yang dicetuskan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, mula memberikan impak positif dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 pada Selasa.
Di Stadium Nasional Bukit Jalil, pasukan negara meneruskan misi menempah laluan ke pusingan akhir Piala Asia Arab Saudi 2027 apabila menewaskan pasukan pilihan dan pendahulu kumpulan, Vietnam, dengan kemenangan bergaya 4-0.
“Alhamdulillah, tetapi perjalanan masih jauh. Akan lakukan yang terbaik untuk terus meningkatkan diri.
“Tahniah kepada barisan pemain dan jurulatih. Terima kasih atas sokongan semua penyokong Malaysia. Alhamdulillah,” ujar Tunku Mahkota Ismail menerusi satu hantaran di media sosial selepas kemenangan tersebut.
Empat gol skuad negara masing-masing dijaringkan oleh Joao Figueiredo (minit ke-49), Rodrigo Holgado (m-59), La’Vere Corbin Ong (m-67), dan Dion Cools (m-88), sekali gus memastikan tiga mata penting buat skuad bimbingan Peter Cklamovski.

Sebagai rekod, Vietnam mengungguli pertemuan menentang Malaysia sebelum ini, dengan mencatat tujuh kemenangan dan satu keputusan seri dalam lapan pertemuan sejak 2016.
Kali terakhir Harimau Malaya menewaskan Naga Emas ialah pada Disember 2014, menerusi kemenangan 4-2 di separuh akhir Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).
Kemenangan ke atas Vietnam itu turut membolehkan skuad Cklamovski memintas kedudukan pendahulu Kumpulan F selepas menewaskan Nepal 2-0 hasil jaringan Hector Hevel dan Corbin Ong di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Mac lalu.
Malaysia kini mendahului kumpulan dengan enam mata, diikuti Vietnam (tiga mata), Laos (tiga mata), dan Nepal yang masih tanpa sebarang mata.
Sementara itu, pengendali Vietnam, Kim Sang-sik memohon maaf kepada penyokong-penyokong Naga Emas setelah pasukan berkenaan diaibkan Harimau Malaya.
“Pertama sekali, selaku jurulatih, saya ingin memohon maaf kepada penyokong-penyokong Vietnam yang menonton di televisyen dan juga yang hadir ke stadium,” kata Sang-sik.
Harimau Malaya selepas ini dijadualkan berdepan pasukan penuh misteri Laos di Vientiane bagi perlawanan ketiga pada 9 Oktober depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
