Lori pasir langgar kabel, tiga tiang lampu tumbang

ISKANDAR PUTERI - Tiga tiang lampu jalan tumbang selepas sebuah lori pasir melanggar kabel elektrik di Jalan Johor Bahru–Gelang Patah–Pendas berhampiran sebuah sekolah, petang Selasa.
Dalam kejadian jam 3.20 petang itu, lori berkenaan dipercayai dipandu tanpa menurunkan bahagian belakang (bucket), menyebabkan ia tersangkut pada kabel elektrik hingga mengakibatkan tiang lampu konkrit tumbang ke atas jalan.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pemandu lori berusia 69 tahun itu tampil membuat laporan polis pada hari yang sama.
“Lori tersebut baru selesai menurunkan muatan tanah di sekitar Gelang Patah dan pemandunya tidak menyedari bucket di belakang masih terangkat.
“Semasa melalui kawasan berhampiran sekolah berkenaan, bucket lori tersangkut pada kabel elektrik hingga menyebabkan tiga tiang lampu tumbang,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, insiden itu turut dirakam dan tular di media sosial, memaparkan detik lori berkenaan melanggar kabel sebelum tiang tumbang ke atas jalan.
Katanya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan hasil ujian air kencing juga mendapati lelaki itu negatif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai hingga menyebabkan kemalangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
