19 van jenazah digerakkan ke Perak

Antara van jenazah yang digerakkan ke Perak untuk membawa pulang jenazah mangsa kemalangan bas pada Isnin. (Gambar kecil: Muhammad Pehimi)
Antara van jenazah yang digerakkan ke Perak untuk membawa pulang jenazah mangsa kemalangan bas pada Isnin. (Gambar kecil: Muhammad Pehimi)
A
A
A

BESUT – Sebanyak 19 van jenazah telah digerakkan ke Perak bagi membantu membawa semua mangsa yang terkorban dalam nahas membabitkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Isnin.

Konvoi tersebut diselaras oleh Pertubuhan Amal Komuniti Besut dengan melibatkan seramai 46 sukarelawan dari Besut, Setiu dan Pasir Puteh.

Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, kumpulan sukarelawan berkenaan berkumpul di pekarangan Masjid Hadhari, Jertih di sini sebelum bertolak kira-kira jam 10 pagi pada Isnin.

"Konvoi ini diiringi oleh kereta peronda dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut bagi memastikan perjalanan ke hospital di Perak berjalan lancar," katanya.

Muhammad Pehimi sebelum itu hadir pada pelepasan konvoi van jenazah berkenaan yang diadakan di pekarangan masjid tersebut dan turut dihadiri Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu.

Beliau berkata, sukarelawan yang terlibat turut membawa kelengkapan lengkap untuk pengurusan jenazah termasuk kain kafan dan jurumandi jenazah lelaki serta perempuan.

"Mereka juga membawa kelengkapan kain kafan untuk wanita dan lelaki. Kita doakan semoga perjalanan mereka selamat sampai.

"Sukarelawan ini terdiri daripada komuniti di Besut, Setiu dan Pasir Puteh. Jadi, kita amat menghargai jasa dan kesediaan mereka dalam membantu keluarga mangsa," ujarnya.

Pada awal pagi Isnin, negara dikejutkan dengan kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran membawa pelajar UPSI yang dipercayai terbabas.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian itu, seramai 15 pelajar disahkan maut, manakala beberapa mangsa yang lain mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Gerik.

Difahamkan bas yang membawa pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jertih, di sini ke Tanjung Malim, Perak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!