Pemuda Cina gembira Zulkifli jadi Menteri Agama

Status Asiang yang tular di laman sosial selepas mengucapkan syukur di atas pelantikan Mufti Wilayah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Status Asiang yang tular di laman sosial selepas mengucapkan syukur di atas pelantikan Mufti Wilayah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
A
A
A

KUANTAN - Di sebalik pelbagai situasi yang berlaku dalam negara ketika ini, kisah yang dikongsi seorang pemuda berbangsa Cina yang menyambut baik pelantikan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) membuktikan bahawa perbezaan agama bukan halangan untuk rakyat negara ini hidup harmoni.

Mesra dipanggil Asiang, pemuda itu tidak menyangka ucapan tahniah dan sokongan kepada Mufti Wilayah atas pelantikan tersebut tular di laman sosial.

Katanya, tindakannya memuat naik tentang Mufti Wilayah kerana hidupnya dikelilingi rakan-rakan Muslim sejak berusia 17 tahun.

"Pada umur 17 tahun, saya dari Rompin ikut abang bekerja di Kuantan. Masa tu saya masih budak tak habis sekolah, hanya tahu cakap bahasa Melayu sikit sahaja.

"Selepas setahun, saya kenal dengan Muzzamer atau Muzz, maka hidup saya dengan orang Melayu Muslim bermula dan bertambah rapat.

"Syukur yang amat, selama saya duduk di Kuantan, dapat kenal ramai abang, kakak dan kawan yang menyayangi saya. Mereka mesra, peramah dan mempunyai hati yang baik. Selalu beri ajaran tentang agama bila saya bertanya," luahnya menerusi akaun Facebook miliknya.

Asiang berkongsi kisahnya memiliki rakan Melayu Muslim dan mendalami Islam sejak sembilan tahun lalu.
Asiang berkongsi kisahnya memiliki rakan Melayu Muslim dan mendalami Islam sejak sembilan tahun lalu.

Asiang berkata, sejak sembilan tahun kebelakangan ini, pemahaman terhadap agama Islam semakin dalam.

Artikel Berkaitan:

"Dari dulu sehingga sekarang, sudah 9 tahun berlalu. Pemahaman saya terhadap agama Islam pun sikit demi sikit bertambah. Oleh kerana itu, saya kongsi status semalam dengan seikhlas hati.

"Lagipun saya ada selalu baca status beliau (Mufti Wilayah) dikongsi rakan Facebook. Jadi, bila dapat tahu beliau dilantik menteri hal ehwal agama, saya gembira," katanya.

Dalam pada itu, Asiang menzahirkan ribuan terima kasih di atas ucapan daripada pengguna Facebook yang memujinya dan menganggap dirinya adalah insan yang baik.

"Saya nak beritahu yang menjadikan saya seperti ini hasil didikan mendiang ibu. Ibu sangat baik hati, peramah, apa-apa bangsa kawan dia pun ada. Dia juga seperti saya sangat fasih dalam bahasa Melayu. Masa ibu ada, dia kadang kala guna bahasa Melayu ketika mesej saya.

"Kalau rasa saya baik, ibu lagi baik 100 kali ganda dari saya tapi Tuhan lebih sayangkannya. Dia meninggal dunia akibat kanser tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Asiang juga berharap pelbagai bangsa bersatu padu untuk mempertahankan keamanan negara.