Remaja hilang 31 jam: 'Saya sangka baru beberapa jam', kata Aidil

MELAKA – “Apa yang pelik, Aidil cerita dia tak sedar langsung masa yang berlalu. Dia sangka baru beberapa jam, sedangkan kita dah mencarinya lebih 31 jam."
Demikian kata Siti Norehan Azhar, 38, ibu kepada remaja lelaki yang dilaporkan hilang sebelum ditemui selamat.
Anaknya, Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15, dilaporkan hilang ketika keluar mencari lembu sejak malam Rabu lalu, sebelum ditemui dalam keadaan lemah terbaring di bawah pokok di kawasan semak sebuah kebun kelapa kira-kira jam 1.57 pagi Jumaat.
Menurut Siti Norehan, anak keduanya daripada enam beradik itu hanya tersedar selepas dikejutkan oleh anggota bomba yang menemuinya.
“Selepas insiden ini, saya berat hati untuk benarkan dia jaga lembu sepupu lagi. Saya percaya mungkin Aidil dah berada di ‘alam lain’ sebab kita tahu makhluk halus ini memang wujud seperti disebut dalam hadis,” katanya ketika dihubungi.
Peniaga makanan itu berkata, beliau yang sedang menemani anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Melaka mengakui masih terkejut dan belum bersedia untuk berkongsi lanjut mengenai kejadian tersebut.
Tambahnya, beliau hairan bagaimana anaknya boleh berjalan sejauh itu tanpa disedari oleh puluhan anggota pasukan keselamatan dan penduduk kampung yang mencarinya siang dan malam.
“Namun saya tak menolak ada kaitan dengan unsur mistik. Sebab itu saya serik nak benarkan Aidil jaga haiwan ternakan lagi,” ujarnya.
Apa yang berlaku, katanya lagi, adalah bukti kebesaran ALLAH SWT, dan beliau berharap insiden itu menjadi pengajaran kepada orang ramai selain turut berterima kasih kepada semua yang membantu dan mendoakan keselamatan anaknya.
“Ramai pesan, anak saya dah ‘ditanda’ oleh ‘alam sebelah’. Takut-takut lepas ini Aidil ‘diambil’ terus.
“Hilang tiga hari pun saya dah macam nak gila, inikan pula kalau berlaku lagi dan lebih lama daripada itu... saya tak tahu bagaimana nak hadapi keadaan begitu,” katanya lagi.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan bahawa remaja terbabit yang hilang ketika mencari lembu sejak Rabu lalu, telah ditemukan dalam keadaan lemah di Kampung Permatang Pasir, awal pagi Jumaat.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pernu itu ditemui memakai baju-T berwarna hijau oleh penduduk bersama pasukan bomba sekitar jam 1.57 pagi.
Berdasarkan siaran langsung di aplikasi TikTok, Aidil dilihat terpaksa dipapah oleh dua anggota bomba, manakala kedengaran penduduk kampung melaungkan azan semasa kejadian.
Difahamkan, remaja berkenaan dikesan selepas beberapa penduduk terdengar suara mangsa mengerang sebelum menemuinya dalam keadaan terbaring di kawasan semak di belakang rumah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

