Tang Jie-Ee Wei cemerlang ke separuh akhir Terbuka Indonesia

BEREGU campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meneruskan kemaraan cemerlang mereka di Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia apabila berjaya menempah slot ke pusingan separuh akhir pada Jumaat.
Pasangan negara itu bangkit dalam aksi suku akhir untuk menundukkan gandingan Denmark, Jesper Toft-Amalie Magelund dalam pertarungan tiga set yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta.
Tang Jie-Ee Wei tewas 17-21 pada set pembukaan namun kembali menyusun rentak dan menyamakan kedudukan menerusi kemenangan 21-16 di set kedua sebelum mengesahkan kemenangan mutlak 21-14 pada set penentuan.
Di separuh akhir esok, pasangan pilihan kedua kejohanan itu bakal berdepan cabaran beregu dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran yang menempah slot ke peringkat tersebut selepas menewaskan satu lagi wakil negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai.
Soon Huat-Shevon gagal menyaingi keampuhan lawan apabila tunduk straight set 16-21, 12-21 dalam aksi mengambil masa 34 minit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
