Sudah 24 jam Aidil hilang, operasi pencarian disambung esok

Sehingga kini, usaha mencari dan menyelamat (SAR) masih belum menemui sebarang petunjuk. Gambar kecil: Muhamad Aidil
Sehingga kini, usaha mencari dan menyelamat (SAR) masih belum menemui sebarang petunjuk. Gambar kecil: Muhamad Aidil
A
A
A

MELAKA - Lebih 24 jam remaja orang kurang upaya (OKU), Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15, dilaporkan hilang ketika keluar mencari lembu di Kampung Permatang Pasir sejak Rabu.

Sehingga kini, usaha mencari dan menyelamat (SAR) masih belum menemui sebarang petunjuk.

Operasi yang memasuki hari kedua diperluas melibatkan kawasan sungai, kolam dan semak berhampiran lokasi terakhir mangsa dilihat.

Pasukan penyelamat turut menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) dan bot dalam usaha mengesan remaja istimewa itu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pencarian membabitkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.

“Sehingga kini tiada sebarang petunjuk ditemui. Operasi diteruskan tanpa henti dan kawasan pencarian telah diperluaskan daripada radius satu kilometer kepada tiga kilometer,” katanya.

Sementara itu, JBPM memaklumkan bahawa operasi SAR ditangguhkan pada jam 7 malam dan akan disambung semula pada jam 8 pagi, Jumaat.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, kawasan pencarian telah dibahagikan kepada empat sektor merangkumi keluasan kira-kira empat ekar termasuk kawasan berhampiran sungai.

Sebelum ini, ibu mangsa, Siti Norehan Azhar, 38, memberitahu bahawa kali terakhir dia bertemu anaknya yang mesra dipanggil ‘Gemuk’ adalah kira-kira jam 6.30 petang, Rabu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mangsa sempat meminta RM3 untuk membeli air sebelum memberitahu mahu masuk ke dalam hutan menjaga lembu.

Ujarnya, anak kedua daripada enam beradik itu rajin membantu menjaga lembu milik bapa saudaranya sebanyak 13 ekor dan lazimnya akan menjaga haiwan ternakan itu dari jam 7 malam hingga 7.30 malam.

Bagaimanapun, katanya, mangsa tidak pulang ke rumah selepas jam 8 malam pada hari kejadian dan dia bertindak keluar mencari mangsa termasuk ke lokasi ternakan lembu berkenaan.

Selepas puas menunggu, dia kemudian membuat laporan polis untuk mendapatkan bantuan pihak berkuasa bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat mangsa diminta segera menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan dan operasi pencarian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!