Stor rahsia warga asing diserbu, ubat dan kosmetik dirampas

PGA serbu stor haram di Bukit Mertajam dan merampas ubat dan kosmetik bernilai RM559,190 milik warga asing.
PGA serbu stor haram di Bukit Mertajam dan merampas ubat dan kosmetik bernilai RM559,190 milik warga asing.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Sebuah rumah yang dijadikan stor menyimpan ubat-ubatan dan produk kosmetik tidak berlesen kepada warga asing sejak dua tahun lalu terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa pada Rabu.

Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, dalam serbuan itu pelbagai jenis ubat, produk kosmetik serta makanan yang dianggarkan bernilai RM559,190 telah dirampas.

Menurutnya, dua lelaki termasuk seorang warga asing ditahan dalam serbuan berkenaan.

“Serbuan dilakukan oleh Cawangan Risik Batalion 2 PGA dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah dan Cawangan Penguat Kuasa Farmasi Pulau Pinang.

“Antara barangan yang dirampas termasuk 868 kotak pelbagai jenis makanan serta 1,567 kotak ubat-ubatan dan produk kosmetik dari Myanmar yang tidak memiliki sebarang sijil kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Shahrum berkata, semua barangan dipercayai dijual kepada warga Myanmar yang tinggal dan bekerja di kawasan Bukit Mertajam dan daerah berhampiran.

Katanya, pihak berkuasa berjaya mengenal pasti lokasi penyimpanan, sekali gus menggagalkan usaha suspek untuk memasarkan barangan tidak sah dan berisiko kepada pengguna.

“Suspek warga asing kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!