Bomba terima 42 kes aduan integriti sehingga Mei

A
A
A

KOTA BHARU – Unit Integriti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima sebanyak 42 aduan berkaitan integriti pegawai dan anggota pasukan itu dalam enam sektor sehingga Mei ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, salah laku merupakan sektor tertinggi dengan 22 kes, selain salah guna kuasa (8), skandal atau gangguan seksual dan penguatkuasaan masing-masing empat kes, rasuah (3), dan penyelewengan (1).

Menurut beliau, isu salah laku pula membabitkan pelbagai kategori iaitu disiplin (5), gangguan rumah tangga dan media sosial (3), pinjaman, hidup mewah dan penipuan (3), vandalisme dan cuai ketika menjalankan tugas (3).

"Kita menerima aduan berkenaan melalui portal e-Aduan Integriti dan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), dan tindakan telah diambil terhadap semua perkara yang dibangkitkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bicara Governans Integriti dan Anti Rasuah (BiGIAR) 2025 pada Khamis.

Beliau memberitahu bahawa melalui portal berkenaan, jumlah aduan berasas dan tidak berasas pada tahun 2022 adalah sebanyak 84, meningkat kepada 87 pada tahun 2023 dan 95 aduan pada tahun lalu.

Jelas beliau, aduan berkaitan perkhidmatan yang diterima pada tahun 2022 ialah 163, meningkat kepada 228 pada 2023 dan melonjak kepada 523 aduan pada tahun 2024.

"Berdasarkan laporan ini, memang berlaku trend peningkatan, tetapi kita melihatnya secara positif kerana aduan merupakan satu kaedah untuk mengekang pelanggaran integriti dalam kalangan pegawai dan anggota.

"Buktinya, pada tahun 2024 sebanyak 55 hukuman tatatertib telah dikenakan, dan jumlah itu menyusut dengan ketara tahun ini apabila sehingga Mei, hanya 13 kes sahaja dicatatkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nor Hisham menjelaskan bahawa jabatan itu sentiasa berusaha sedaya upaya untuk menangani isu integriti dan menyelesaikannya dengan pendekatan terbaik.

Program Bicara Governans Integriti dan Anti Rasuah (BiGIAR) 2025 turut menganjurkan forum khas berkaitan rasuah dengan dua ahli panel, iaitu Ketua Bahagian Koordinasi Wilayah dan Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Mohd Shafie Harun dan Timbalan Pengarah Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri Kelantan, Zakaria Taib.

Moderator bagi forum itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!