Gelandangan sembunyi wang RM480,000 dipenjara setahun

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki gelandangan dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis kerana menyembunyikan wang lebih RM480,000 milik dua wanita, tahun lalu.
Marchell Jeff Lee Sin Ket, 39, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Hakim Hamidah Mat Deril.
Hakim Azrul menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi pertuduhan pertama, sementara bagi pertuduhan kedua, Hakim Hamidah memerintahkan tertuduh dipenjara selama lapan bulan.
Kedua-dua mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula Khamis.
Mengikut pertuduhan pertama, Marchell didakwa menolong menyembunyikan wang seorang pemilik syarikat pelaburan berusia 59 tahun berjumlah RM314,790 yang diketahui bukan miliknya bagi tujuan penipuan, di sebuah unit kondominium di Sentul antara 18 November hingga 12 Disember 2024.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengalih atau menyembunyikan wang RM173,000 milik seorang eksekutif akaun syarikat produk kesihatan berusia 49 tahun di sebuah unit kondominium lain di Sentul, antara 7 November hingga 9 Disember 2024.
Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Saravanan dan Raihanah Abd Razak, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

