Peniaga dedah cacing dalam sotong, ingatkan cuci sampai bersih

SHAH ALAM – Seorang peniaga membuat pendedahan mengejutkan apabila memuat naik video yang memaparkan cacing di dalam perut sotong yang dibersihkannya.
Menurut peniaga itu, dia menyedari kewujudan haiwan parasit tersebut kerana sering membersihkan sotong dalam kuantiti yang banyak.
“Saya siang sotong 40 kilogram (kg) sehari, semua ada cacing. Pastikan buang kelongsong cacing ini.
“99 peratus ada dalam sotong. Buang bersih-bersih ya,” katanya menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok peniaga Gerai Mee Kaki Udang LKNK.
Dalam hantaran berasingan, lelaki itu turut berkongsi tutorial untuk membuang ribuan cacing yang berada dalam perut sotong.
“Cacing ini berada dalam sotong tetapi bukan di hujung bontot. Ia ada di tengah, kalau masukkan jari tak sampai.
“Tarik jarum (struktur keras dan lutsinar dalam sotong), baru keluar, tetapi kalau jarum kosong, maknanya cacing tertinggal di dalam perut. Sebab itu siang sotong kena bersih,” kata peniaga terbabit.
Sementara itu, seorang pengamal perubatan, Muhamad Hazwan Nazri menerusi perkongsian di TikTok turut menjelaskan bahawa sifat parasit yang menghasilkan keradangan boleh menyebabkan penyakit kepada manusia sekiranya termakan.
Menurutnya, cacing yang ditemui dalam sotong kebiasaannya ialah Anisakis, sejenis cacing gelang parasit (nematod) yang menjangkiti haiwan laut seperti sotong, ikan dan paus.
“Ia akan menyerap sel darah merah, tinggal di usus dan merosakkan sel serta mengakibatkan radang.
“Sebab itu apabila kita makan makanan yang mentah atau tidak dimasak sepenuhnya, parasit penyebab keradangan akan mengakibatkan jangkitan Anisakiasis.
“Simptomnya sama seperti keracunan makanan, antaranya muntah, cirit-birit, demam, mual dan sakit perut,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!