Seorang maut, puluhan cedera dalam gempa bumi di Turkiye

ISTANBUL – Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun maut manakala puluhan lagi cedera awal pagi Selasa apabila panik dan ketakutan menyelubungi penduduk semasa gempa bumi bermagnitud 5.8 melanda perairan pantai Marmaris di wilayah Mugla, barat daya Turkiye, lapor agensi Anadolu Ajansi (AA) memetik Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD).
Afranur Gunlu mengalami serangan panik ketika gegaran berlaku di daerah Fethiye dan dikejarkan ke hospital, namun tidak dapat diselamatkan walaupun menerima rawatan perubatan, menurut Gabenor Mugla, Idris Akbiyik.
Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 67.91 kilometer (km) dan 10.43 km dari pantai Marmaris di Laut Mediterranean. Ia tidak menyebabkan kerosakan struktur yang besar, namun ketakutan menyebabkan orang ramai melompat dari tempat tinggi atau melarikan diri keluar dari bangunan.
Gabenor Akbiyik berkata seramai 69 orang terjejas akibat gempa bumi tersebut, dengan kebanyakan kecederaan berpunca daripada cubaan melarikan diri dalam keadaan panik.
“Seramai 55 orang dimasukkan ke hospital – 10 dibawa dengan ambulans dan 45 lagi hadir secara sendiri. Empat belas orang enggan dibawa ke hospital dan dirawat di lokasi,” katanya. “Seorang pesakit dimasukkan ke wad, 46 sedang menerima rawatan di unit kecemasan dan lapan telah dibenarkan pulang.”
Penilaian awal mendapati hanya kerosakan kecil berlaku pada dua bangunan di Marmaris, termasuk keretakan pada dinding dan tiada kemusnahan besar dilaporkan. - Bernama-Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
