Karangkraf curi tumpuan di PBAKL dengan konsep ‘Garden of Knowledge’

KUALA LUMPUR - Reruai Grup Buku Karangkraf (GBK) berjaya mencuri perhatian pengunjung di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) dengan konsep hiasan ‘Garden of Knowledge’.
Pengunjung yang hadir rata-rata teruja dengan dekorasi reruai yang lain daripada kebiasaan, lengkap dengan hiasan pokok, rumput dan bunga, mewujudkan suasana bagaikan berada di dalam taman.

Menurut seorang pengunjung, Yasmin Nurani Abdul Halib, 35, suasana di reruai GBK bukan sahaja menarik perhatian pengunjung, malah turut mencetuskan minat membaca.
“Suasana reruai GBK ceria ala-ala taman yang begitu mesra alam. Ia buat kita rasa ingin datang dan selesa untuk memilih buku.
“Perasaan ingin membaca jadi lebih kuat. Tengoklah, ada hiasan pokok dan rumput yang buat kita selesa untuk memilih, walaupun mengambil masa agak lama,” katanya kepada Sinar Harian.

PBAKL 2025 diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bermula pada 23 Mei lalu hingga hari ini.
Pesta buku itu menerima hampir dua juta pengunjung.

Bagi seorang kakitangan swasta, Nurfarahin Nisa Mohd Zamzuri, 25, pula, kunjungan ke reruai GBK menjadi pengalaman menggembirakan, khususnya bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan dunia pembacaan.
“Saya ke sini sebab ikut mak cik. Jarang kunjungi pesta atau jualan buku, tapi bila datang ke reruai GBK saya rasa tertarik untuk singgah.
“Mula-mula hanya singgah untuk melihat reruai sahaja kerana tempatnya cantik. Namun, lama-kelamaan saya jadi tertarik untuk membaca buku. Apatah lagi bahan yang dijual semuanya bagus,” ujarnya.

Sementara itu, Eksekutif Media Sosial GBK, Muhammad Aizuddin Jamali memberitahu pihaknya menerima maklum balas positif sejak hari pertama hingga hari terakhir pesta buku berlangsung.
Katanya, ramai pengunjung yang pada awalnya hanya mahu melihat reruai, akhirnya membeli buku.

“Kami menerima maklum balas bahawa reruai kami paling menarik dan cantik, ditambah pula ini kali pertama kami menerbitkan buku dalam Bahasa Inggeris. Sebelum ini, ada yang mencari buku dalam Bahasa Inggeris, jadi tahun 2025 kami tampilkan pelbagai variasi di PBAKL.
“Selain itu, pada tahun ini juga, reruai GBK menerima kunjungan ramai selebriti, penulis terkenal dan pempengaruh media sosial yang hadir memeriahkan suasana. Kehadiran mereka menarik lebih ramai pengunjung yang datang bukan sahaja untuk membeli buku, malah bergambar bersama.
“Berdasarkan pemerhatian saya, jumlah pengunjung ke reruai GBK tahun ini dilihat meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya, terutama pada tiga hari terakhir. Ramai yang datang bersama keluarga dan rakan untuk merasai sendiri suasana meriah di sini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

