Singapura hormati inisiatif Azmin adakan lawatan

Mohamed Azmin Ali
A
A

SINGAPURA - Singapura mengalu-alukan inisiatif Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk melakukan lawatan dan bermesyuarat dengan para menteri republik itu, menurut Kementerian Luar Negeri Singapura (MFA).

Ini walaupun dengan penangguhan mesyuarat ke-14 Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM), yang pada asalnya dijadualkan esok.

MFA berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kementerian Luar Malaysia yang menyatakan bahawa Mohamed Azmin akan bertemu dengan rakan sejawatannya, Lawrence Wong yang merupakan Menteri Pembangunan Negara dan Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan bagi membincangkan pelbagai isu dua hala antara Malaysia dan Singapura.

"Ini memperlihatkan bahawa betapa hubungan antara kedua-dua negara masih kukuh," kata Wisma Putra dalam satu kenyataan.

Menurut Wisma Putra mesyuarat itu akan membentuk langkah positif seterusnya hasil pertemuan dua hala antara Menteri Luar Malaysia dan Singapura pada 8 Januari lepas.

Menteri Luar kedua-dua negara kini saling berhubungan dan bersetuju bahawa kedua-dua pihak harus sentiasa bertenang dan “tidak mensensasikan perkara tersebut.

Wisma Putra yakin momentum penglibatan antara Malaysia dan Singapura sekarang akan diteruskan dan mengulangi komitmennya untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan Singapura berdasarkan kesaksamaan dan hormat-menghormati.

Mohamed Azmin dijangka mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat JMCIM itu.- Bernama