Helah transit terbongkar, 105 warga asing diarahkan pulang

SEPANG – Cubaan licik warga asing untuk memasuki Malaysia dengan menggunakan helah transit terbongkar apabila pasukan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya mengesan taktik tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada Khamis lalu.
Menurut kenyataan AKPS pada Sabtu, dalam satu operasi pemantauan, lebih 400 individu dari Bangladesh, Pakistan dan India telah diperiksa. Daripada jumlah itu, seramai 105 warga asing didapati tidak memenuhi syarat kemasukan dan telah diarahkan pulang.
“Taktik yang digunakan adalah dengan mengaku hanya transit di Malaysia sebelum menuju ke negara ketiga.
“Hasil siasatan bersama syarikat penerbangan mendapati tiket penerbangan ke negara ketiga telah dibatalkan sebaik sahaja mereka menaiki pesawat ke KLIA. Ini merupakan salah satu helah bertujuan mengaburi pegawai imigresen,” katanya.
Menurut kenyataan itu, AKPS akan terus mempertingkatkan pengawasan di semua pintu masuk negara, menambah baik mekanisme semakan serta melakukan saringan teliti terhadap setiap individu yang masuk atau keluar dari Malaysia.
“AKPS menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, termasuk pegawai yang cuai atau bersubahat, dan tindakan tatatertib serta undang-undang yang tegas akan dikenakan ke atas mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
