Guru tadika didakwa cederakan murid guna pen

Polis menahan seorang wanita disyaki mencederakan anak muridnya menggunakan pen dalam kejadian di sebuah tadika di Rawang.
Polis menahan seorang wanita disyaki mencederakan anak muridnya menggunakan pen dalam kejadian di sebuah tadika di Rawang.
A
A
A

RAWANG - Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun didakwa dicederakan gurunya menggunakan pen dalam kejadian di sebuah tadika di sini baru-baru ini.

Kejadian itu hanya terbongkar selepas bapa mangsa menyedari terdapat kesan kecederaan pada kepala anaknya ketika mereka berada di rumah kira-kira jam 10 pagi pada 26 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, siasatan awal mendapati mangsa memberitahu kecederaan tersebut berpunca daripada tindakan seorang guru wanita yang mencederakannya menggunakan pen semasa berada di tadika.

"Laporan dibuat bapa mangsa kira-kira jam 11.13 malam pada Khamis sebelum mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut.

"Pemeriksaan dijalankan mendapati mangsa mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian kepala," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah menahan seorang wanita tempatan berusia 30 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan.

"Turut dirampas satu bekas berisi pen serta peranti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis tadika tersebut bagi membantu siasatan.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang pada Sabtu bagi permohonan reman," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Muhammad Hakimie Razally di talian 011-33352585 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di 03-61262222," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!