Akaun WhatsApp Saifuddin Nasution digodam guna VPN luar negara

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

KUALA LUMPUR - Akaun WhatsApp milik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang digodam baru-baru ini dipercayai menggunakan rangkaian persendirian maya (VPN) dari luar negara.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, siasatan awal mendapati penggodam telah menyamar sebagai menteri berkenaan dengan menghantar pautan mencurigakan kepada beberapa kenalan melalui aplikasi WhatsApp.

“Penggodam bertindak mengakses akaun WhatsApp sebelum menyebarkan pautan URL kepada kenalan mangsa. Semakan mendapati tiada sebarang kerugian dilaporkan setakat ini kerana tindakan pantas diambil oleh pegawai-pegawai menteri yang segera melaporkan kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman di sini, pada Jumaat.

Tambahnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.

“Polis sedang mengesan lokasi dan keberadaan pelaku terbabit untuk tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, Pejabat Menteri Dalam Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa akaun WhatsApp Saifuddin telah digodam dan laporan rasmi telah dibuat kepada pihak berkuasa.

Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mengakses sebarang pautan mencurigakan yang dihantar daripada nombor milik menteri tersebut, sehingga siasatan selesai.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!