'Sukar kekalkan Ronaldo di Arab Saudi'

PEGAWAI Arab Saudi sedang berada dalam rundingan sukar untuk mengekalkan Cristiano Ronaldo di negara itu, menurut satu sumber kepada media antarabangsa selepas bintang bola sepak itu memberi bayangan akan meninggalkan Al Nassr.
"Terdapat rundingan yang sedang berlangsung dan sukar untuk meyakinkan Ronaldo supaya kekal dan bermain dalam Liga Pro Saudi musim depan, kata sumber daripada Dana Pelaburan Awam (PIF), pelabur utama dalam bola sepak Arab Saudi.
"Pilihan pertama adalah perpindahan ke Al Hilal dengan peluang untuk beraksi dalam Piala Dunia Kelab FIFA atau ke juara Asia, Al Ahli," tambah sumber itu.
Ronaldo memuat naik kenyataan 'bab ini sudah tamat' pada lewat malam Selasa, hanya beberapa jam selepas Liga Pro Saudi menamatkan musimnya dengan Al Nassr di tempat ketiga dan sekali lagi gagal meraih sebarang trofi.
Jendela perpindahan khas akan dibuka dari 1 hingga 10 Jun untuk membolehkan 32 pasukan yang terlibat dalam Piala Dunia Kelab mendaftarkan pemain.
Presiden FIFA, Gianni Infantino, minggu lalu berkata terdapat perbincangan mengenai penyertaan bekas pemain Manchester United, Real Madrid, Juventus dan Sporting Lisbon itu dalam kejohanan di Amerika Syarikat bermula 14 Jun.
Penyerang Portugal berusia 40 tahun itu menyertai Al Nassr pada tahun 2022 dari Manchester United dan kontraknya akan tamat hujung bulan depan.
"Kehadiran Ronaldo merupakan faktor penting dalam pembangunan liga Saudi dalam dua tahun setengah yang lalu. Dia membuka pintu kepada pemain elit dan muda untuk datang ke Arab Saudi," kata sumber tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
