PM terima surat permohonan cuti dan pengunduran Rafizi, Nik Nazmi

SHAH ALAM- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima surat permohonan cuti dan pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan malam ini memaklumkan setelah meneliti perkara itu, Anwar bersetuju meluluskan permohonan cuti mereka.
"Setelah meneliti permohonan tersebut, YAB Perdana Menteri telah bersetuju meluluskan permohonan cuti kedua-dua menteri berkenaan.
"Sebarang keputusan lanjut terkait perkara ini akan dimaklumkan kemudian oleh YAB Perdana Menteri," katanya pada Rabu.
Terdahulu, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan keputusan mengundurkan diri sebagai menteri berkuat kuasa 17 Jun depan, diikuti Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkuat kuasa 4 Julai ini.
Keputusan yang dibuat Rafizi dan Nik Nazmi itu atas alasan mereka tidak lagi mendapat mandat parti susulan kekalahan bagi pertandingan jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
