Malaysia destinasi pelancongan perubatan nombor satu dunia

Malaysia kini dinobatkan sebagai destinasi nombor satu dunia untuk pelancongan perubatan. Gambar kecil, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Malaysia kini dinobatkan sebagai destinasi nombor satu dunia untuk pelancongan perubatan. Gambar kecil, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keyakinan terhadap kepakaran doktor dan jururawat tempatan, kualiti rawatan bertaraf antarabangsa serta layanan mesra berteraskan nilai murni masyarakat Malaysia menjadikan negara ini pilihan utama pelancong kesihatan dari seluruh dunia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, menurut pengiktirafan terbaharu yang dikeluarkan oleh firma global, Nomad Capitalist berpangkalan di Dubai, Malaysia dinobatkan sebagai destinasi pelancongan perubatan nombor satu dunia mengatasi negara seperti Singapura, India dan Turkiye.

Menurutnya, kedudukan itu membuktikan keyakinan antarabangsa terhadap keupayaan dan sistem penjagaan kesihatan negara.

“Malaysia kini dinobatkan sebagai destinasi nombor satu dunia untuk pelancongan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pada tahun 2023, sektor tersebut berjaya menjana hasil lebih RM2 bilion dengan kehadiran kira-kira 1.3 juta pelancong kesihatan dari rantau Asia dan seluruh dunia.

Menurut beliau, kejayaan itu adalah hasil usaha kolektif petugas kesihatan awam dan swasta, pelabur serta rakan strategik yang memperkukuh imej Malaysia sebagai hab kesihatan global.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) atas dedikasi dan kerja keras dalam memacu sektor ini ke tahap yang membanggakan,” ujarnya.

Dr Dzulkefly turut menegaskan komitmen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk terus memperkukuh sektor kesihatan demi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan negara.

“Kita tidak akan berhenti di sini. KKM komited untuk memperkasa penjagaan kesihatan primer, memacu transformasi digital sistem kesihatan serta memastikan sistem yang saksama, mampan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Pencapaian ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia di persada dunia selaras dengan usaha kerajaan mempromosikan pelancongan kesihatan sebagai antara sektor strategik negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!