Operator kilang tak sempat balik rumah, rempuh kereta dipandu guru

Motosikal Honda RS-X ditunggang mangsa yang terbabit dalam kemalangan di persimpangan Jalan Tanjung Minyak-Bukit Rambai berhampiran Taman Arked Seri Rambai pada malam Selasa. Gambar kecil: Muhammad Syafie
Motosikal Honda RS-X ditunggang mangsa yang terbabit dalam kemalangan di persimpangan Jalan Tanjung Minyak-Bukit Rambai berhampiran Taman Arked Seri Rambai pada malam Selasa. Gambar kecil: Muhammad Syafie
A
A
A

MELAKA – Seorang operator kilang yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan dan motosikal di persimpangan Jalan Tanjung Minyak–Bukit Rambai berhampiran Taman Arked Seri Rambai, dekat sini, malam Selasa.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 malam itu menyebabkan mangsa, Muhammad Syafie Sha'ari, 20, yang menunggang motosikal Honda RS-X, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang bekerja di sebuah kilang di Taman Teknologi Cheng sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu 6 ½ Jalan Solok Lereh, Tanjung Kling.

Menurutnya, sebelum kejadian, sebuah Mitsubishi Xpander yang dipandu seorang guru wanita berusia 50 tahun datang dari arah Jalan Arked Seri Rambai 1 menghala ke Jalan Bukit Pala.

"Setiba di lokasi kejadian, kenderaan tersebut mahu keluar simpang selepas memastikan tiada kenderaan melalui kawasan itu.

"Namun, tiba-tiba motosikal yang ditunggang mangsa datang lalu melanggar bahagian hadapan kiri kenderaan tersebut.

"Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan pada anggota badan dan kaki serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Ujarnya, kenderaan yang terlibat telah ditahan di Balai Polis Malim untuk melalui pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Artikel Berkaitan:

"Polis juga akan meneliti rakaman papan pemuka kenderaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!