[VIDEO] Ini sebabnya jemaah haji tak boleh bawa pulang air zamzam dari Makkah
MAKKAH – Jemaah haji Malaysia tidak dibenarkan membawa pulang air zamzam sama ada melalui ruang kabin atau kargo pesawat penerbangan yang mereka naiki.
Pengurus Khidmat Luar Lembaga Tabung Haji (TH), Mohamad Zamry Mohd Noor berkata, air zamzam juga tidak boleh dihantar pulang ke Malaysia menggunakan perkhidmatan pos.

“Tidak boleh. Ini kerana air zamzam memang disediakan oleh pihak Tabung Haji dan hanya akan diagihkan sewaktu jemaah haji tiba di tanah air.
“Sebaik sahaja jemaah mendarat, mereka akan menerima lima liter air zamzam seorang. Penghantaran melalui pos juga tidak dibenarkan kerana air zamzam adalah barang kawalan – ia tidak boleh dijual beli atau diniagakan,” katanya ketika ditemui pemberita di Abraj Al Janadriyah di sini.

Mohamad Zamry menjelaskan bahawa air zamzam merupakan hadiah daripada kerajaan Arab Saudi kepada jemaah haji Malaysia dan pengagihannya dilakukan secara percuma.
“Larangan membawa pulang air zamzam adalah peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi, dan kita perlu mematuhinya.
“Tahun lalu, terdapat jemaah yang cuba menghantar air zamzam dengan memasukkannya ke dalam botol kecil dan meletakkannya dalam kotak untuk dipos.
“Namun, barangan itu dikesan di lapangan terbang, dikeluarkan dan tidak sampai ke Malaysia. Saya nasihatkan jemaah haji supaya tidak melanggar peraturan ini,” tegas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

