Remaja lahir perempuan berubah jadi lelaki

KARAWANG – Seorang remaja perempuan dari Kecamatan Tempuran di sini menggemparkan penduduk setempat selepas mengalami perubahan fizikal menyerupai lelaki ketika berusia 16 tahun.
Remaja yang dikenali sebagai RSM itu disahkan menghidap penyakit jarang berlaku dikenali sebagai Differences in Sex Development (DSD) atau gangguan perkembangan jenis kelamin.
Perubahan fizikal itu mula dikesan keluarga pada awal Mac lalu sebelum RSM dibawa ke Hospital RSUD Karawang untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
Bapanya, Sarta berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan anak bongsunya itu mengalami perubahan hormon yang menyebabkan ciri fizikalnya bertukar kepada lelaki.
“Anak saya lahir sebagai perempuan dan sejak kecil membesar seperti biasa. Tetapi pada awal Mac lalu, dia mula menunjukkan perubahan fizikal. Apabila kami membawanya ke hospital, doktor sahkan ia adalah kondisi perubatan yang serius,” katanya.
Menurutnya, keadaan kewangan keluarga yang daif menyebabkan mereka hanya mampu mendapatkan rawatan percuma di hospital kerajaan.
“Kami sudah beberapa kali ke hospital. Kami buntu hendak buat apa kerana kami hidup susah. Semua rawatan kami harapkan pada hospital ini sahaja,” katanya lagi.
RSM yang hanya sempat menamatkan pelajaran di sekolah rendah turut berdepan kekeliruan berkaitan dokumen pengenalan diri.
“Dalam sijil anak saya tertulis jantina perempuan dan gambarnya pun memakai tudung. Tapi sekarang, kalau dia disahkan lelaki, bagaimana dengan sijil itu nanti?” ujar Sarta.
Jurucakap RSUD Karawang, Lutfi mengesahkan bahawa remaja itu menunjukkan gejala ketidaksesuaian organ kelamin berdasarkan hasil imbasan dan pemeriksaan pakar.
“Pesakit pertama kali datang pada 23 Mac lalu. Hasil pemeriksaan menunjukkan alat kelaminnya tidak berada pada posisi normal dan dia juga tidak memiliki rahim,” katanya.
Menurutnya, pihak hospital kini masih menjalankan rawatan lanjut terhadap RSM dan kemungkinan akan merujuk kes itu ke hospital lain yang mempunyai kemudahan lebih lengkap.
“Kami akan terus memantau keadaannya dan jika perlu, dia akan dirujuk ke fasiliti kesihatan yang lebih sesuai,” katanya. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!