Maut dihempap buah sawit

Keadaan mangsa yang maut dalam kejadian itu.
Keadaan mangsa yang maut dalam kejadian itu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang lelaki warga emas maut dihempap buah kelapa sawit di sebuah kebun di Batu 7, Ijok, Bestari Jaya di sini pada Isnin.

Mangsa berusia 63 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di bahagian kepala dan leher.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada anak saudara mangsa jam 4.05 petang.

"Polis bergegas ke lokasi kejadian kemudian mendapati lelaki itu dalam keadaan terbaring dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Ijok,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Azaharudin memberitahu, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tanjong Karang bagi proses bedah siasat.

Ujar beliau, hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa berpunca kecederaan di kepala dan leher akibat objek yang jatuh.

Bagaimanapun, katanya, kejadian itu juga tiada berlaku sebarang unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tampil menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial menerusi video berdurasi 11 saat memaparkan keadaan mangsa terbaring ditutupi kain dengan dikelilingi sekumpulan penduduk di kebun berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!