Lelaki terkejut kapal kargo hampir rempuh rumah

NORWAY - Seorang lelaki di Norway terkejut selepas sebuah kapal kargo sepanjang 135 meter (m) terbabas dan merempuh halaman rumahnya dalam kejadian pagi Khamis lalu.
Menurut BBC News, insiden tersebut berlaku sekitar jam 5 pagi waktu tempatan di kawasan pesisir pantai Byneset, berhampiran Trondheim.
Kapal kargo yang dikenali sebagai NCL Salten itu, dilaporkan hilang kawalan dan terkandas ketika sedang bergerak pada kelajuan penuh.
Difahamkan, ia tiba-tiba terbabas lalu melanggar daratan, sekali gus mengejutkan penduduk sekitar daripada tidur.
Pemilik rumah, Johan Helberg berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas jirannya membunyikan loceng rumahnya.

“Loceng rumah berbunyi pada waktu yang saya tidak gemar untuk buka pintu,” katanya kepada penyiar Norway, TV2.
Helberg kemudian menjenguk ke luar tingkap dan terkejut melihat kapal yang amat besar terdampar di halaman rumahnya.
“Saya terpaksa dongak kepala untuk nampak bahagian atasnya. Ia sangat tidak masuk akal.
“Saya langsung tidak dengar apa-apa,” katanya kepada pemberita.
Tambah dia, jika kapal itu terbabas lima meter lebih ke selatan, ia akan merempuh bilik tidurnya.
Sementara itu, jirannya, Jostein Jorgensen berkata, dia terjaga daripada tidur akibat terdengar bunyi dentuman kuat.
Dia kemudian terus bergegas ke rumah Helberg dan menyangka jirannya itu sudah berada di luar.
“Saya pasti dia sudah pun di luar, tetapi tidak, langsung tiada tanda-tanda kehidupan.
“Saya tekan loceng berkali-kali, tetapi tiada jawapan. Akhirnya saya hubunginya melalui telefon, barulah dia menjawab,” jawabnya risau.
Difahamkan, NCL Salten ialah kapal kargo yang berdaftar di Kepulauan Cyprus, sebuah negara pulau di Mediterranean Timur dan membawa 16 kru.
Kapal itu dalam perjalanan ke arah barat daya melalui Trondheim Fjord menuju ke Orkanger sebelum terbabas dari laluannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
