Enam teori konspirasi 'Langkah Sheraton'

Majlis Makan Malam Muafakat Ahli Parlimen di Hotel Sheraton dikatakan sebagai satu majlis diadakan bagi meraikan kejayaan pembentukan kerajaan pakatan baharu Perikatan Nasional.
Majlis Makan Malam Muafakat Ahli Parlimen di Hotel Sheraton dikatakan sebagai satu majlis diadakan bagi meraikan kejayaan pembentukan kerajaan pakatan baharu Perikatan Nasional.
A
A
A

GENAP tempoh seminggu pelantikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan hari ini, cakap-cakap politik dalam kalangan rakyat jelata masih jelas kedengaran di kedai kopi dan media sosial.

Walaupun mereka mendakwa muak dan jelik menyaksikan gelagat 222 ahli Parlimen bercakaran sesama sendiri, sehingga hilang prinsip perjuangan politik masing-masing dek kerakusan mencatur strategi meraih kuasa sejak dua minggu lalu, sembang politik sehingga kini masih menjadi modal utama rakyat berinteraksi.

Secara logiknya, polemik peralihan kerajaan melalui 'Langkah Sheraton' sehingga terbentuk jajaran konfigurasi pakatan politik baharu dipanggil Perikatan Nasional pada 1 Mac lalu sebenarnya baharu di peringkat permulaan dan bukan pengakhiran.

Jadi tidak hairan setiap rakyat di seluruh peringkat umur, masing-masing kini berubah profesion menjadi penganalisis politik 'mi segera' bagi meramal nasib kerajaan baharu dan Pakatan Harapan (PH) pada masa hadapan.

Masing-masing cuba menjadi cerdik pandai dengan mendedahkan pelbagai teori konspirasi membawa keruntuhan kerajaan PH pada 24 Februari lalu, namun hakikat sebenar masih samar.

Di sebalik teka-teki sama ada kerajaan Perikatan Nasional mampu bertahan sehingga penghujung penggal pentadbiran berbaki tiga tahun atau PH yang kini diketuai semula bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mampu kembali bangkit, faktor sebenar membawa kepada keruntuhan kerajaan PH masih kekal menjadi misteri.

Bak kata seorang bekas menteri PH dari Perak sewaktu ditemui penulis minggu ini, beliau mengakui hairan dengan tindak-tanduk Dr Mahathir pada saat 'Langkah Sheraton' digerakkan oleh pihak tertentu.

Kebingungan menteri PH itu sebenarnya bukan dirasai beliau seorang, bahkan oleh seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat dunia.

Artikel Berkaitan:

Melalui 'Langkah Sheraton', Dr Mahathir, seorang tokoh politik bertaraf dunia yang sememangnya terkenal dengan strategi politik licik dan luar biasa, dilihat seolah-olah menjadi bayang-bayang kepada reputasinya sendiri sebagai pemimpin berhati kering.

Bahkan stesen penyiaran berita antarabangsa, Al-Jazeera dalam satu wawancara secara langsung bersama Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini turut mengutarakan persoalan berkenaan.

Lebih-lebih lagi, dakwaan Dr Mahathir dikhianati Muhyiddin, pemimpin yang bukan dilihat bercita-cita tinggi seperti bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein waima Presiden UMNO sendiri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekalipun, dilihat sangat meragukan.

Sehingga saat artikel ini ditulis, Sinar Harian sudah mengenal pasti sekurang-kurangnya enam teori konspirasi yang dikaitkan dengan usaha menjayakan 'Langkah Sheraton' sehingga tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional:

1) Mohamed Azmin, Hishammuddin pencetus gerakan

Teori ini didedahkan oleh portal pembocor maklumat, Sarawak Report dan kepimpinan PKR pro Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila nama Mohamed Azmin disebut-sebut sebagai penggerak utama.

Mohamed Azmin yang sememangnya sudah tidak sehaluan dengan Anwar dikatakan berjaya meraih tandatangan akuan bersumpah (SD) lebih 130 ahli Parlimen dari parti UMNO, Pas, Bersatu dan PKR.

Langkah itu bertujuan asal mengekalkan kepimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal pentadbiran PH.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Datuk Mohamad Ezam Mohd Noor dalam satu kenyataan turut mendakwa Hishammuddin diperalatkan Mohamed Azmin bagi meraih sokongan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Perlu diingat, 'Langkah Sheraton' sendiri juga diambil nama bersempena inisiatif Mohamed Azmin bersama 10 bekas ahli Parlimen PKR mengadakan mesyuarat tergempar di Hotel Sheraton pada 23 Februari sekali gus membawa kepada penganjuran Majlis Makan Malam Muafakat ahli Parlimen yang dihadiri 131 ahli Parlimen.

Azmin Ali
Azmin Ali

2) Pas cadang usul sokong Dr Mahathir sebagai PM

Perkara ini bukan lagi satu teori apabila Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sendiri mengesahkannya untuk dikemukakan dalam Sidang Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, usul dicadangkan Pas digembar-gemburkan membawa kepada ketidakstabilan hubungan politik antara parti-parti dalam PH terutama PKR dan Bersatu.

Usul itu turut dikatakan sebagai isyarat awal pembentukan jajaran kerajaan pakatan baharu yang dipercayai direncanakan untuk satu tempoh masa lama, akan diaktifkan pada bila-bila masa.

Susulan usul dicadangkan Pas, polemik kemelut peralihan kuasa Perdana Menteri di antara Dr Mahathir dan Anwar menjadi semakin parah sehingga menyebabkan satu mesyuarat khas Majlis Presiden PH diadakan pada 21 Februari lalu.

Mesyuarat khas itu dikatakan bertujuan membincangkan tarikh muktamad penyerahan kuasa PM kepada Anwar, namun keadaan bertukar tegang dengan Dr Mahathir akhirnya diberi masa untuk menentukan sendiri tarikh itu.

3) Lokman Adam dedah Ahmad Zahid cuba 'khianat' UMNO
Isu kerjasama UMNO dan Pas dengan Bersatu timbul selepas pendedahan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Adam berhubung apa yang dikatakan perancangan parti itu untuk bekerjasama dalam membentuk satu pakatan baharu.

Rancangan itu didakwa disuarakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional UMNO, 4 Februari lalu.

Lokman turut mendakwa tujuan utama Ahmad Zahid melakukan konspirasi itu adalah bagi membersihkan nama dirinya yang berdepan dengan 83 pertuduhan kes rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Lokman turut kecewa Ahmad Zahid turut menggunakan alasan menyokong pembentukan pakatan kerajaan baharu itu bagi menyelamatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut berdepan pertuduhan mahkamah.

4) Setiausaha-setiausaha politik Dr Mahathir bertindak sebagai 'daulah terpendam' dalam PH

Teori ini didedahkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk A Kadir Jasin apabila beliau menggambarkan sebahagian besar ahli MPT Bersatu seolah-olah 'dirasuk syaitan' untuk mengenepikan Dr Mahathir dan mencalonkan Muhyiddin bagi menjadi Perdana Menteri kerajaan pakatan baharu.

Kadir menerusi hantaran laman sosial Facebooknya turut menyerang semua orang dari blok Muhyiddin dan bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir Mohamad Zahid Mat Arip.

Beliau turut mendakwa asakan dan pengkhianatan terhadap Mahathir adalah konspirasi keluar PH melalui kerjasama dengan UMNO dan sudah dirancang dengan teliti dalam jangka masa panjang oleh mereka dalam Bersatu, UMNO, PKR dan Pas.

“Ternyata Dr Mahathir juga dihampakan oleh watak-watak UMNO yang beliau alu-alukan ke dalam Bersatu seperti Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Mustapha Mohamed. Nampak seolah-olah ada usaha mengambil alih Bersatu oleh pendatang UMNO ini,” katanya.

Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah ahli Parlimen. - Foto Sharifuddin Abdul Rahim
Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah ahli Parlimen. - Foto Sharifuddin Abdul Rahim

5) Hishammuddin didakwa 'mastermind' kerajaan pintu belakang

Spekulasi penubuhan kerajaan pakatan baharu sebenarnya sudah kecoh sejak Oktober tahun lalu apabila Hishammuddin didakwa cuba menggagalkan rancangan peralihan Perdana Menteri PH kepada Anwar dengan menubuhkan 'kerajaan pintu belakang'.

Beberapa pemimpin utama PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) turut mendakwa penubuhan kerajaan pakatan baharu yang direncanakan Hishammuddin dipercayai akan menyingkirkan wakil DAP dan Amanah.

Selain itu, spekulasi mengaitkan Hishammuddin turut timbul apabila terdapat dakwaan berlaku pergolakan dalaman UMNO sendiri di mana pelantikan Ahmad Zahid sebagai Presiden tidak diterima secara positif oleh beberapa pemimpin utama parti itu sendiri.

Hishammudin menafikan perkara itu dan menegaskan kesetiaan beliau kepada perjuangan parti masih tidak berbelah-bahagi.

6) Dr Mahathir sebagai 'trojan horse' menggagalkan PH

Teori konspirasi ini paling kuat diperkatakan dalam kalangan warga maya sehingga kini.

Teori ini kuat berlegar-legar di media sosial apabila Dr Mahathir, diketahui mempunyai hubungan perseteruan cukup lama dengan Anwar, didakwa sebagai arkitek utama merencanakan kejatuhan kerajaan PH yang baharu mentadbir selama 22 bulan.

Menurut seorang ahli Parlimen Bersatu dari Perak, desas-desus usaha meraih tandatangan SD ahli-ahli Parlimen bagi menyokong kepimpinannya sebagai PM sehingga akhir penggal sebenarnya sudah dimulakan seawal empat bulan selepas pentadbiran kerajaan PH.

Ini diikuti dengan keputusan Bersatu mengalu-alukan penyertaan bekas ahli Parlimen UMNO menyertai parti itu dan langkah itu dikatakan sebagai antara usaha memperkukuhkan parti itu sekali gus melicinkan rencana meruntuhkan kerajaan PH.

Selain itu, tindak-tanduk Anwar seperti langkah mengadakan jerayawara bagi menghadap raja-raja Melayu, bertanding di pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson dan mengumumkan tarikh peralihan kuasa PM kepada stesen penyiaran antarabangsa BBC juga memperlihatkan beliau seolah-olah cuba menekan Dr Mahathir untuk menyegerakan proses peralihan kuasa kepadanya.

Teori itu diperkuatkan dengan Dr Mahathir yang dilihat tidak konsisten dalam menyatakan kesediaan memberi laluan kepada Anwar sehingga membawa kepada polemik berpanjangan.

Meskipun Dr Mahathir mendakwa tidak terlibat langsung dalam rencana menjatuhkan kerajaan PH dan berasa dikhianati Muhyiddin, banyak pihak meragui penjelasan beliau.

Keraguan itu mungkin berasas kerana Dr Mahathir sememangnya terkenal sebagai pakar percaturan politik tanah air negara yang menentukan naik turunnya seorang Perdana Menteri, menjatuhkan pentadbiran kerajaan BN selama 60 tahun serta mengimbangi kuasa institusi diraja.

Bagaimanapun, segala bentuk teori konspirasi yang 'diratibkan' rakyat negara ini bukanlah satu jawapan muktamad terhadap persoalan terjadinya 'Langkah Sheraton' yang bakal dianggap sebagai satu lipatan sejarah penting negara.

Sinar Harian yakin jawapan sebenar terhadap persoalan utama itu hanya boleh dijawab 'pelakon-pelakon utama' yang menjayakan kisah berkenaan, termasuk Dr Mahathir sendiri.

Apapun, marilah kita sama-sama mendoakan agar pentadbiran kerajaan baharu Perikatan Nasional akan mengembalikan kestabilan ekonomi negara sekali gus mengekalkan elemen keamanan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk.

Bagaimanapun, segala bentuk teori konspirasi yang 'diratibkan' rakyat negara ini bukanlah satu jawapan muktamad terhadap persoalan terjadinya 'Langkah Sheraton' yang bakal dianggap sebagai satu lipatan sejarah penting negara.

Sinar Harian yakin jawapan sebenar terhadap persoalan utama itu hanya boleh dijawab 'pelakon-pelakon utama' yang menjayakan kisah berkenaan, termasuk Dr Mahathir sendiri.

Apapun, marilah kita sama-sama mendoakan agar pentadbiran kerajaan baharu Perikatan Nasional akan mengembalikan kestabilan ekonomi negara sekali gus mengekalkan elemen keamanan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk.

Muhyiddin kini dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan setelah menerima sokongan gabungan kerajaan baharu membentuk Perikatan Nasional pada 1 Mac lalu.
Muhyiddin kini dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan setelah menerima sokongan gabungan kerajaan baharu membentuk Perikatan Nasional pada 1 Mac lalu.