Kuota NEM rakyat ditambah 100MW

PUTRAJAYA - Kerajaan menambah kuota Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) bagi kategori domestik atau NEM Rakyat sebanyak 100 megawatt (MW), menjadikan jumlah keseluruhan kuota sejak 2011 kini mencecah 600 MW.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa kuota tambahan itu dibuka kepada semua pengguna domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) sehingga 30 Jun ini atau sehingga kesemua kuota diagihkan.
"Penambahan kuota ini susulan sambutan menggalakkan daripada pengguna sehingga kuota sedia ada habis dilanggan," menurut kenyataan itu.
Petra memaklumkan bahawa langkah tersebut membolehkan lebih ramai pengguna memanfaatkan ruang bumbung kediaman bagi pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV).
Maklumat garis panduan terkini NEM Rakyat boleh dirujuk menerusi laman web Suruhanjaya Tenaga (ST) di www.st.gov.my, manakala permohonan boleh dibuat melalui laman web SEDA Malaysia di www.seda.gov.my.
Dalam pada itu, Petra dan ST kini sedang meneliti kaedah baharu pelaksanaan sistem solar bumbung bagi memastikan inisiatif tenaga boleh baharu (TBB) lebih adil, inklusif dan bermanfaat kepada semua pengguna.
"Sebagai agensi peneraju peralihan tenaga negara, PETRA komited menambah baik pelaksanaan sistem solar bumbung secara menyeluruh, sejajar dengan aspirasi negara ke arah kelestarian tenaga," katanya.
Petra turut menegaskan bahawa sasaran mencapai 70 peratus kapasiti TBB dalam bekalan elektrik menjelang 2050 adalah tonggak pembangunan mampan negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
