Sidang Kemuncak ASEAN ke-46: Kawalan keselamatan lancar, terkawal - PDRM

Polis terus pertingkat dan perketat kawalan keselamatan di beberapa lokasi termasuk tempat persidangan, lawatan dan hotel penginapan orang kenamaan (VIP) serta delegasi antarabangsa sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bermula pada Jumaat. Gambar hiasan Bernama
Polis terus pertingkat dan perketat kawalan keselamatan di beberapa lokasi termasuk tempat persidangan, lawatan dan hotel penginapan orang kenamaan (VIP) serta delegasi antarabangsa sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bermula pada Jumaat. Gambar hiasan Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis terus pertingkat dan perketat kawalan keselamatan di beberapa lokasi termasuk tempat persidangan, lawatan dan hotel penginapan orang kenamaan (VIP) serta delegasi antarabangsa sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bermula pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, semua jentera Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan peranan masing-masing dengan mengadakan latihan dan raptai sebelum berlangsungnya persidangan itu.

Menurutnya, ini bagi memastikan semua petugas mahir untuk melaksanakan peranan masing-masing dengan cekap dan kemas.

“Pegawai-pegawai yang terlatih juga ditugaskan mengawal rapat keselamatan VIP.

“Jadi sebagai rumusan, keseluruhan kawalan keselamatan persidangan adalah terkawal,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, penutupan beberapa laluan di sekitar Lembah Klang bagi memberi laluan kepada delegasi antarabangsa berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Ujarnya, pengguna jalan raya memberi kerjasama baik kepada petugas trafik.

"Saya dimaklumkan oleh Ketua Jabatan Trafik Kuala Lumpur dan Selangor keadaan baik dan lancar serta mengikut jadual seperti dalam perancangan.

"Kita berterima kasih kepada orang ramai yang memberikan kerjasama dan yang mengambil cakna tentang penutupan jalan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Penutupan beberapa jalan utama sekitar pusat bandar itu dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tempoh persidangan bermula hari ini hingga 28 Mei bagi memastikan kelancaran pergerakan delegasi serta menjamin tahap keselamatan tertinggi kepada pemimpin ASEAN.

Antara jalan yang turut terlibat dengan penutupan sementara pada Jumaat termasuklah Jalan Ampang, Jalan Tun Razak, Jalan Kia Peng, Jalan Pinang, Persiaran KLCC dan Jalan P Ramlee.

Sidang Kemuncak ASEAN 2025 menghimpunkan ketua-ketua negara dan kerajaan dari seluruh rantau Asia Tenggara dan dijangka membincangkan pelbagai isu utama termasuk keselamatan serantau, ekonomi digital, pelaburan serta perubahan iklim.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!