Bekas pegawai kanan kerajaan Ukraine maut ditembak

Andriy Portnov pernah menjadi pembantu kanan utama dalam kerajaan bekas Presiden Ukraine yang pro-Rusia, Viktor Yanukovych yang telah digulingkan.
Andriy Portnov pernah menjadi pembantu kanan utama dalam kerajaan bekas Presiden Ukraine yang pro-Rusia, Viktor Yanukovych yang telah digulingkan.
A
A
A

MADRID – Seorang bekas pegawai kanan kerajaan Ukraine, Andriy Portnov, maut ditembak dalam satu kejadian berhampiran sebuah sekolah antarabangsa di Madrid, Sepanyol pada pagi Rabu.

Portnov, 51, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditembak beberapa kali oleh seorang penyerang tidak dikenali sejurus selepas menghantar anaknya ke sekolah di kawasan Pozuelo de Alarcón, barat ibu negara Sepanyol.

Menurut pihak berkuasa dan saksi kejadian, mangsa sedang berjalan ke arah keretanya di kawasan tempat letak kenderaan sekolah sebelum diserang oleh seorang lelaki berbadan kurus memakai baju sukan berwarna biru yang kemudian melarikan diri ke arah taman berhampiran.

"Penyerang melepaskan lima hingga enam das tembakan. Pada mulanya kami sangka ia bunyi mercun," kata seorang pelajar kepada stesen televisyen tempatan.

Seorang wanita yang bergegas memberi bantuan kepada Portnov dilaporkan menjerit selepas menyedari keadaan mangsa yang parah, lapor akhbar El Mundo.

Pasukan kecemasan mengesahkan Portnov mengalami kecederaan serius akibat beberapa tembakan di bahagian belakang dan kepala. Mayatnya telah dibawa untuk bedah siasat, manakala kereta Mercedes hitam miliknya telah dikawal oleh pihak polis.

Operasi mengesan suspek melibatkan penggunaan dron dan helikopter, namun tiada tangkapan dibuat sehingga beberapa jam selepas kejadian. Beberapa laporan turut menyatakan penyerang mungkin dibantu oleh seorang lagi individu yang menunggu di atas motosikal.

Portnov pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan Timbalan Ketua dalam pentadbiran Presiden Ukraine pro-Rusia, Viktor Yanukovych, yang digulingkan pada tahun 2014 susulan protes besar-besaran di negara itu. Sebelum itu, beliau turut terlibat dalam kerajaan Yulia Tymoshenko sebelum beralih menyokong Yanukovych selepas kemenangan presiden itu pada 2010.

Beliau meninggalkan Ukraine selepas revolusi tetapi kembali pada 2019 selepas Volodymyr Zelensky dilantik sebagai presiden. Portnov kemudian meninggalkan negara itu sekali lagi, dan pada 2021, beliau dikenakan sekatan oleh Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat yang mendakwa beliau terkenal sebagai individu yang memanipulasi mahkamah serta menggagalkan usaha pembaharuan kehakiman.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga pernah memenangi beberapa kes undang-undang terhadapnya, termasuk mencabar sekatan Kesatuan Eropah dan dakwaan pengkhianatan berkaitan pengilhakan Crimea oleh Rusia yang kemudiannya digugurkan oleh pihak berkuasa Ukraine.

Pihak sekolah telah mengeluarkan kenyataan kepada ibu bapa untuk memaklumkan bahawa semua pelajar selamat dan tidak terlibat dalam kejadian tersebut.

Motif serangan masih belum dikenal pasti. Pihak polis tidak menolak kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan motif politik atau dendam lama, namun masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan.

Terdapat insiden serupa di Madrid pada 2018 apabila seorang pengedar dadah dari Colombia ditembak mati di luar sebuah sekolah British Council, kira-kira beberapa kilometer dari lokasi kejadian terbaru ini.

Dalam insiden berasingan tahun lalu, seorang juruterbang helikopter Rusia yang membelot ke Ukraine turut ditembak mati di Alicante, Sepanyol, dan pihak berkuasa ketika itu mengaitkan kejadian itu dengan pembunuh upahan Rusia.

Kes pembunuhan Portnov kini menjadi fokus siasatan pihak berkuasa Sepanyol yang turut mendapat perhatian komuniti antarabangsa. – BBC

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!