Pemandu maut tercampak, tersangkut pada wayar TM

Mangsa yang tercampak keluar dari kenderaan tersangkut pada wayar TM.
Mangsa yang tercampak keluar dari kenderaan tersangkut pada wayar TM.
A
A
A

PORT DICKSON – [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbalik dan merempuh tiang elektrik dalam kejadian di Kilometer 2.8 Jalan Pantai pada Rabu

Kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu menyebabkan mangsa berusia 33 tahun tercampak dan tersangkut pada wayar Telekom Malaysia (TM).

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, ketika kejadian, mangsa yang memandu Toyota Hilux dalam perjalanan dari arah Port Dickson menghala ke Kuala Lumpur.

“Siasatan awal mendapati sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan tersebut hilang kawalan dan terbalik, lalu berpusing beberapa kali sebelum merempuh tiang elektrik sehingga patah dan seterusnya melanggar pagar pejabat TNB Port Dickson.

“Akibat rempuhan itu, pemandu tercampak keluar dari kenderaan dan tersangkut pada wayar TM," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Keadaan kenderaan pacuan empat roda yang dipandu mangsa.
Keadaan kenderaan pacuan empat roda yang dipandu mangsa.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada kepala, manakala penumpang hadapan hanya cedera ringan.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati, mangsa tidak memiliki lesen memandu dan mempunyai tiga rekod berkaitan kes dadah serta satu rekod jenayah.

“Bagaimanapun, semakan mendapati cukai jalan dan insurans kenderaan yang dipandu masih aktif.

Artikel Berkaitan:

"Rakaman video papan pemuka kenderaan terbabit telah diperoleh bagi membantu siasatan lanjut," katanya.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!