Peserta Ukraine sertai pesta wau di Kelantan

Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2025 di Pantai Irama, Bachok, menampilkan penyertaan enam negara termasuk Ukraine. Foto hiasan
Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2025 di Pantai Irama, Bachok, menampilkan penyertaan enam negara termasuk Ukraine. Foto hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Situasi tidak menentu dan pergolakan yang berlaku di Ukraine ketika ini tidak menghalang warganya untuk menerbangkan wau pada Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2025.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, ia merupakan penyertaan kali pertama negara berkenaan menjayakan pesta wau yang bermula pada Rabu.

"Tahun ini sebanyak enam negara menyertai pesta wau tersebut antaranya Amerika Syarikat, Thailand, Singapura, Indonesia dan China.

"Selain itu peserta tempatan dari seluruh negara turut menjayakan pesta kali ini," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Menurut beliau, untuk tahun ini lokasi terpaksa dipindahkan ke Pantai Irama, Bachok selepas Pantai Geting, Tumpat sedang dinaik taraf.

Ujarnya, orang ramai khususnya peminat wau diseru untuk hadir memeriahkan acara tahunan yang berprestij ini.

Kamarudin memberitahu, pesta wau itu sudah memasuki kali ke 42 penganjuran.

"Pesta ini bukan sahaja memperkenalkan budaya kita ke peringkat antarabangsa, tetapi juga mengukuhkan industri pelancongan warisan di Kelantan.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai daya tarikan tambahan, pertandingan wau bercahaya akan diadakan pada hari Jumaat, bermula jam 9 malam," katanya.

Menurut beliau, pelbagai persembahan turut memeriahkan suasana sepanjang tiga hari penganjuran, antaranya persembahan dikir barat, pertunjukan permainan api (fireshow) dan lain-lain acara kebudayaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!