Syahir belum mahu kibar bendera putih

Syahir. FOTO - SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Syahir. FOTO - SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

TIADA istilah mengalah dalam kamus tekong nombor satu negara, Mohammad Syahir Rosdi yang bertekad untuk terus berjuang demi mengangkat maruah sepak takraw Malaysia.

Beliau berkata, semangat membara dalam dirinya tidak akan padam selagi ego seteru tradisi, Thailand, belum berjaya ditundukkan.

Kekalahan kepada skuad Gajah Perang dalam aksi final acara regu berpasukan Piala Asia di Kuala Lumpur pada Ahad lalu menjadi iktibar buat Syahir serta rakan sepasukan untuk bangkit lebih kuat.

"Kekalahan yang memeritkan, namun skuad menunjukkan peningkatan dan masih berada di landasan tepat untuk kejohanan akan datang.

"Kami tewas menerusi tie-break, namun ia tidak mematahkan semangat kami untuk terus berjuang," katanya.

Kekalahan tersebut menyaksikan kemarau kejuaraan selama 34 tahun terus berlarutan, selepas kali terakhir Malaysia meraih emas pada Sukan SEA Manila 1991.

Enggan menoleh ke belakang, pemain kelahiran Pulau Pinang itu kini mahu mengalihkan fokus kepada dua lagi kejohanan besar yang bakal berlangsung tahun ini.

"Selepas ini, kami akan fokus kepada Piala Raja Thai dan Sukan SEA. Jadi, perjalanan masih panjang. Saya harap para peminat terus beri sokongan kepada sepak takraw Malaysia," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Piala Raja Thai dijadual berlangsung di Bangkok pada Julai, manakala Sukan SEA Thailand akan berlangsung pada penghujung tahun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!