'Harap Muhyiddin terus utamakan kepentingan Sabah'

Datuk Abdul Rahman Dahlan
Datuk Abdul Rahman Dahlan
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan berharap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan terus mengutamakan kepentingan rakyat Sabah termasuklah melibatkan peruntukan pembangunan dan menyalurkan kewangan tahunan kepada negeri itu.

Menurut Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Tuaran, tindakan itu perlu bagi membolehkan perancangan pembangunan, proses tender dan pemantauan projek dibuat di peringkat kerajaan Sabah.

Jelasnya, dengan cara itu juga secara tidak langsung dapat mengubah pendekatan serta pemikiran kerajaan Pusat terhadap Sabah dan Sarawak supaya lebih mesra dan berasaskan perasan hormat-menghormati.

"Bagi menjayakan konsep Persekutuan yang lebih adil dan saksama, sudah tibanya kita melihat kembali ruang-ruang yang boleh ditambah baik dalam konteks Persekutuan yang ada sekarang.

"Yang pasti Sabah mesti kekal dalam Malaysia dan Yang di-Pertuan Agong adalah ketua negara yang wajib diterima. Namun saya melihat banyak ruang penambahbaikan yang boleh dibuat dalam konteks hubungan pusat dan negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya hari ini.

Abdul Rahman berkata, pandangan sama turut disuarakan beliau kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kira-kira sebulan selepas Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dua tahun lalu.

"Beliau mendengar pandangan saya dengan teliti selama dua jam kami berbincang. Beliau juga mengemukakan pandangan balas dan idea beliau yang bernas dalam perbincangan itu.

"Saya berterima kasih kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid kerana dalam pertemuan secara empat mata di pejabat beliau itu, beliau mendengar sambil mencatatkan intipati perbincangan dalam buku nota beliau untuk rujukan beliau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Abdul Rahman berkata, apa yang disuarakan beliau itu bukan semata-mata untuk rakyat di Sabah semata-mata tetapi juga turut menjadikan Malaysia secara keseluruhannya dengan lebih baik.

"Saya percaya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dapat memberikan nafas baru dan tumpuan dalam soal ini. Insya-ALLAH," katanya.