300 kilogram syabu bernilai RM10 juta dirampas

Dadah jenis syabu seberat 300 kilogram bernilai kira-kira RM10 juta berjaya digagalkan pihak maritim.
Dadah jenis syabu seberat 300 kilogram bernilai kira-kira RM10 juta berjaya digagalkan pihak maritim.
A
A
A

BATU PAHAT - Cubaan menyeludup dadah jenis syabu seberat 300 kilogram bernilai kira-kira RM10 juta berjaya digagalkan dalam satu operasi di perairan Sungai Ayam, di sini, awal pagi Jumaat lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, rampasan itu hasil maklumat risikan berhubung pergerakan mencurigakan sebuah bot fiber asing di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sebaik sahaja maklumat diterima, sebuah bot ronda dikerah ke lokasi sekitar jam 1 pagi sebelum menemui bot fiber yang ditinggalkan dalam keadaan tergesa-gesa.

“Ketika dihampiri, suspek bertindak melarikan diri ke kawasan cetek lalu terjun ke dalam air dan meloloskan diri ke hutan paya bakau berhampiran.

“Pemeriksaan ke atas bot tanpa nombor pendaftaran yang menggunakan enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda itu menemui 12 guni berisi bungkusan plastik mengandungi serbuk kristal disyaki syabu,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, setiap guni dianggarkan seberat 25 kilogram dan semua dadah yang dirampas dianggarkan seberat 300 kilogram dengan nilai pasaran kira-kira RM10 juta.

Tambah beliau, barang yang rampasan dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk siasatan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengulas lanjut, Kama Azri menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk jenayah rentas sempadan khususnya penyeludupan dadah dan pendatang asing tanpa izin.

“Operasi penguatkuasaan akan terus diperkasa bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.

Artikel Berkaitan:

"Komuniti maritim dan masyarakat setempat perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang kegiatan mencurigakan.

"Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh disalurkan ke Zon Maritim Batu Pahat menerusi talian 07-434 4020 atau emel ke khairisaad@mmea.gov.my," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!