[VIDEO] Ikan asing kuasai sungai Semenanjung kecuali di Pantai Timur
SEREMBAN – Ekosistem sungai di negeri-negeri Semenanjung kecuali di Pantai Timur, berada dalam keadaan membimbangkan apabila telah dikuasai spesies ikan asing terutamanya ikan bandaraya.
Pengasas Pertubuhan Komuniti Pemburu Ikan Asing, Muhammad Haziq A Rahman berkata, data tersebut diperoleh berdasarkan tinjauan dan aktiviti memburu ikan asing yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Perikanan.
Menurutnya, sejak misi skuad tersebut bermula pada tahun 2022, lebih 40,000 ikan asing kebanyakannya ikan bandaraya berjaya ditangkap.
“Tumpuan kita semestinya di Selangor kerana kita bermula di negeri itu dan mengikut rekod, kita sudah tangkap 22,000 ikan bandaraya sejak misi itu bermula.
“Hampir keseluruhan negeri di Semenanjung, melainkan di negeri Pantai Timur, adanya ikan asing ini,” katanya ditemui Sinar Harian pada Program Inventori Perikanan Darat dan Memburu Ikan Asing Peringkat Negeri Sembilan di Sungai Kampung Kayu Ara, Mambau di sini baru-baru ini.

Jelas beliau, Perak merupakan negeri kedua selepas Selangor yang mempunyai jumlah tangkapan ikan asing paling tinggi direkodkan, diikuti Kedah dan Pulau Pinang.
Tambahnya lagi, beberapa sungai telah dikategorikan sebagai zon merah apabila dalam tempoh satu jam sahaja sebanyak 1,000 kg ikan bandaraya berjaya ditangkap, sekaligus menggambarkan tahap keseriusan sungai terbabit.
Sementara itu, Muhammad Haziq mencadangkan supaya kerajaan negeri-negeri lain mengikut langkah Selangor yang menawarkan insentif RM1 bagi setiap satu kilogram tangkapan ikan terbabit.
“Dengan cara itu saya nampak dapat menggalakkan lagi masyarakat untuk turun padang menyelamatkan ekosistem sungai kita daripada ancaman ikan asing ini.
“Kalau nak mengharapkan gerakan kami seorang memang tak mampulah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

