Bersatu Pahang lengkapkan 12 barisan ketua bahagian

Dari kiri; Mohd Yazid, Hamzah dan Badardin antara ketua bahagian Bersatu negeri Pahang bagi penggal 2020/2023
Dari kiri; Mohd Yazid, Hamzah dan Badardin antara ketua bahagian Bersatu negeri Pahang bagi penggal 2020/2023
A
A
A

KUANTAN - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang melengkapkan barisan kepimpinan bahagiannya selepas semua ketua bahagian baharu dipilih dan disahkan melalui pemilihan yang bermula 15 Februari lalu dan berakhir semalam.

Temerloh yang bersidang untuk pemilihan semalam menjadi bahagian terakhir menyelesaikan proses itu menyaksikan bekas veteran UMNO yang juga bekas Ahli Parlimen Jerantut, Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dipilih sebagai ketua bahagian itu.

Pada pemilihan Bersatu Pahang untuk penggal 2020/2023 ini, seramai tujuh muka baharu dipilih iaitu Hamzah Daud (Kuantan), Abdul Khalib Abdullah (Rompin-menang tanpa bertanding), Asmawi Harun (Bera), Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (Temerloh), Tengku Mohd Ali Raja Ali (Jerantut), Roslan Hassan (Bentong-menang tanpa bertanding) dan Mohd Fakrunizam Ibrahim (Raub).

Turut tersenarai sebagai ketua bahagian baharu, Mohd Yazid Mohd Yunus (Paya Besar- menang tanpa bertanding), Dr Abdul Rasid Mohamad Ali (Cameron Highlands-menang tanpa bertanding), Mohamad Rafidee Hassim (Kuala Krau), Wan Abu Bakar Wan Mohamed (Pekan) dan Datuk Badardin Abdul Rahaman (Lipis).

Setiausaha Bersatu Pahang, Mohd Yazid Mohd Yunus berkata, beliau berpuas hati dengan proses pemilihan bahagian yang berjalan lancar tanpa kekecohan atau kejadian tidak diingini.

Menurutnya, kejayaan proses pemilihan itu turut disumbang komitmen tinggi para petugas dan ahli-ahli.

“Alhamdulillah semua bahagian selesai bersidang di mana ketua-ketua bahagian baharu sudah dipilih dan disahkan.

“Satu mesyuarat ketua-ketua bahagian akan diadakan selepas ini dan antara agendanya berhubung persidangan bahagian yang dijadualkan pada April ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Artikel Berkaitan:

Mohd Yazid berkata, mesyuarat itu juga akan memberi tumpuan kepada calon-calon dari Pahang yang bakal bertanding untuk Majlis Pimpinan Tertinggi parti kelak.

“Kalau boleh kita tidak mahu terlalu ramai yang menawarkan diri untuk bertanding bagi mengelak berlaku persaingan tidak sihat dan pecahan undi,” katanya.

Menyentuh berhubung konflik yang berlaku di dalam parti itu, Mohd Yazid berkata, Bersatu Pahang kekal menyokong kepimpinan parti yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi dan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

“Kami menyerahkan kepada mereka berdua untuk menyelesaikan konflik ini.

“Bagaimanapun Bersatu Pahang akan memberi kerjasama kepada kerajaan baharu hari ini memandangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah Presiden Bersatu,” katanya.