Permohonan cerai di Johor meningkat sejak 2019

Mohd Fared
Mohd Fared
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Kes permohonan cerai yang difailkan di Mahkamah Syariah seluruh negeri Johor menunjukkan peningkatan ketara sejak enam tahun lalu, bermula 2019 hingga penghujung 2024.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, berdasarkan statistik yang direkodkan, jumlah permohonan perceraian meningkat daripada 6,844 kes pada 2019 kepada 7,306 kes tahun lalu.

“Antara punca utama perceraian ialah tiada persefahaman antara pasangan, masalah kewangan, sikap tidak bertanggungjawab, gangguan pihak ketiga serta campur tangan ahli keluarga seperti mentua dan ipar-duai.

"Peningkatan paling ketara melibatkan tuntutan atau permohonan perceraian yang melonjak daripada 3,273 kes pada 2019 kepada 4,264 kes pada 2024.

“Bagi tuntutan pengesahan lafaz cerai, walaupun berlaku penurunan pada 2021 dengan 1,856 kes, jumlahnya kembali meningkat kepada 2,462 kes tahun lalu,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor ke-15 di Kota Iskandar, pada Isnin.

Tambah beliau, tuntutan pengesahan cerai taklik kekal rendah sepanjang tempoh enam tahun tersebut iaitu antara 25 hingga 38 kes setahun.

“Manakala tuntutan khulu’ atau tebus talak juga kekal rendah dengan sedikit penurunan daripada 10 kes pada 2019 kepada lapan kes pada 2024.

Artikel Berkaitan:

“Tuntutan fasakh pula merekodkan penurunan ketara iaitu daripada 988 kes pada 2019 kepada hanya 545 kes tahun lalu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa pasangan dalam lingkungan usia 26 hingga 35 tahun merupakan golongan tertinggi memfailkan perceraian dengan jumlah 16,159 individu.

Ujarnya, diikuti pasangan berumur 36 hingga 45 tahun dengan 10,517 kes; 18 hingga 25 tahun (4,877 kes); 46 hingga 55 tahun (4,631 kes); 56 hingga 65 tahun (1,715 kes); dan 66 tahun ke atas (588 kes).

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Fared berkata, sebanyak 371 tuntutan nafkah telah difailkan dari Mei 2023 hingga April 2024, melibatkan 262 kes sepanjang tahun 2023 dan 109 kes setakat April tahun ini.

“Melalui Bahagian Sokongan Keluarga, bantuan insentif turut disalurkan kepada pihak yang layak selepas proses siasatan dan kelulusan mesyuarat dibuat.

“Sejak tahun 2012 hingga Ogos 2023, sebanyak RM77,400 telah disalurkan sebagai pendahuluan dana kepada bekas isteri yang layak menerusi peruntukan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ),” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!