Syurga buatmu, adik Noah – Radzi Jidin

PUTRAJAYA - Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin menzahirkan rasa sedih dan simpati atas insiden menimpa seorang kanak-kanak lelaki yang maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah apartmen perumahan awam di Presint 9, di sini pada Sabtu.
Beliau menyifatkan pemergian secara mengejut anak kecil yang baru berusia dua tahun lapan bulan itu tentunya satu ujian berat dan kehilangan besar buat ibu bapa serta keluarga terdekat.
“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Saya doakan agar keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang sangat berat ini. Syurga buatmu, adik Noah. Al-Fatihah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Mohd Radzi turut hadir ke Hospital Putrajaya pagi Ahad untuk menziarahi jenazah dan bersama-sama menunaikan solat jenazah.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh apartmen berkenaan dalam kejadian menyayat hati pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pihak polis masih menyiasat punca sebenar kejadian kerana terdapat pelbagai versi yang tular di media sosial mendakwa mangsa dipercayai memanjat sofa sebelum terjatuh.
“Siasatan mendapati terdapat sebuah sofa berada di ruangan terbuka tingkat lapan, manakala mangsa dilaporkan terjatuh dari tingkat tujuh,” katanya.
Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan lengkap dijalankan pihak berkuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!