UMNO aktifkan war room hadapi PRN Sabah, sasar 23 kerusi DUN

Ahmad Maslan (tiga kiri ) menyampaikan sijil penghargaan kepada pelajar cemerlang peperiksaan SPM di SMK Ayer Baloi di Pontian pada Ahad.
Ahmad Maslan (tiga kiri ) menyampaikan sijil penghargaan kepada pelajar cemerlang peperiksaan SPM di SMK Ayer Baloi di Pontian pada Ahad.
A
A
A

PONTIAN – Sekretariat War Room UMNO Pusat telah mengaktifkan Sekretariat UMNO Sabah sebagai persediaan awal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang boleh diadakan pada bila-bila masa.

Ketua Sekretariatnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, arahan telah diterima daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk beliau mengetuai gerak kerja War Room PRN Sabah.

Justeru, beliau akan bekerjasama rapat dengan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin yang dipertanggungjawabkan menerajui War Room UMNO negeri itu.

"Fokus dan tumpuan adalah terhadap kawasan atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi oleh Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

“Peranan Sekretariat War Room kini diperluaskan merangkumi pengundi muda, hubungan antara kaum, penerangan dan pelbagai aspek lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Baloi di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memaklumkan bahawa parti itu menyasarkan sekurang-kurangnya 23 kerusi DUN untuk dimenangi dan kini giat mengadakan siri jelajah ke kawasan sasaran.

Ahmad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, mesyuarat bersama Jafry telah diadakan baru-baru ini bagi menyelaras dan mengemas kini gerak kerja War Room.

Artikel Berkaitan:

“War Room tidak lagi terhad kepada papan tanda dalam bilik mesyuarat, sebaliknya perlu menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi maklumat (IT).

“Kita mesti memanfaatkan aplikasi seperti WhatsApp, Telegram dan TikTok bagi memastikan pengumpulan data dan maklumat lebih tepat dan berkesan,” katanya yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya.

Tambah beliau, BN dan UMNO komited memastikan kemenangan calon-calon yang akan bertanding demi membolehkan parti itu kembali menerajui kerajaan negeri Sabah.

“Walaupun gabungan parti yang akan bertanding belum dimuktamadkan, yang penting UMNO mesti menang di kawasan yang ditandingi,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!